utama

'Aduhai muka aku...'

Oleh Suraya Roslan

KERANA taksub mahu muka berseri, seorang wanita menderita tidak boleh tidur, makan dan bercakap selepas kulit mukanya mengalami kegatalan dan menggelupas teruk selepas memakai satu produk kecantikan.

Wanita itu yang juga model sambilan, Nunajwa Fatasya Mohd Nuhairie, 21, berkata dia memakai set kecantikan itu sejak dua bulan lalu dan tidak menyangka kulit mukanya yang sebelum ini tidak bermasalah menjadi lebih teruk.

“Saya akui mahu kulit cantik berseri berikutan sedikit kusam sebelum ini.

“Terpengaruh dengan rakan, saya menempah satu set lengkap produk kecantikan berharga RM70 secara atas talian menerusi seorang ejen,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurutnya, selepas menggunakan tiga set produk itu, kelmarin dia mula merasakan kulit pipinya pedih, kepanasan dan menggelupas teruk sehingga mengganggu tidurnya.

“Muka saya berasa gatal hingga mengganggu selera makan. Saya mahu menyuap makanan dan bercakap pun sukar.

“Kulit muka saya seolah-olah tegang dan memang saya menyesal memakai produk ini, namun merasakan mungkin tidak bersesuaian dengan kulit muka saya.

“Malah, saya kena akui kerana terlampau taksub melihat muka rakan cantik dan berseri, saya mencuba membelinya tanpa memeriksa adakah ia berdaftar dengan Kementerian Kesihatan selepas produk berkenaan tular di media sosial," katanya.

Ibu tunggal dua anak itu berkata, dia sudah beberapa bulan tidak mengambil sebarang 'job' sebagai model sambilan.

Katanya, selepas kejadian itu, mungkin dia terpaksa bercuti lebih lama bagi memulihkan kulit wajah terlebih dulu.

“Dalam hal ini, saya tidak mahu menyalahkan sesiapa termasuk pengasas atau ejen produk berkenaan kerana saya mengambilnya tanpa paksaan sesiapa dan sanggup menanggung risiko sendiri.

“Saya kini mendapatkan rawatan lanjut di klinik untuk memeriksa kulit muka berikutan sudah tidak tahan dengan kesan sampingannya,” katanya.

Nunajwa berkongsi pengalaman itu dan wajahnya sehingga tular di Facebook berikutan dikongsi 5,400 orang.

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 10:00pm
d