utama

4 koloni Bangladesh

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Tiga dalam satu. Itu onar terbaru warga Bangladesh yang kini semakin berani apabila terbabit dengan kegiatan menjual rokok seludup, menyelia pusat perjudian dan menjalankan perniagaan kedai runcit.

Tinjauan Harian Metro mendapati warga Bangladesh berkenaan kini menjajah kawasan sekitar Bandar Pinggiran Subang, Subang Bestari, Pekan Subang Lama dan Pekan Sungai Buloh dekat sini.

Kebanyakan premis berkenaan dimiliki oleh warga Bangladesh yang menyewa lesen dari warga tempatan dengan harga RM500 sebulan.

Mereka kemudian membuka perniagaan kedai runcit, kedai makan dan kedai pakaian yang menyasarkan rakan senegara sebagai pelanggan.

Pemerhatian turut mendapati terdapat dua surau yang didirikan kumpulan warga Bangladesh berkenaan untuk dijadikan tempat solat harian dan solat Jumaat.

Premis bangunan kedai berkenaan turut diubah suai dengan menyediakan tempat berwuduk di bahagian bawah kedai.

Seorang warga Bangladesh yang ditemui berkata, kebanyakan warga asing yang tinggal di kawasan berkenaan adalah bekerja di kilang berhampiran dan berniaga kedai runcit di kawasan itu.

“Kami tinggal di rumah sewa di bahagian atas premis. Rumah sewa berkenaan disewakan kepada warga asing oleh warga tempatan.

“Dalam kalangan kami ada seorang yang dilantik sebagai ketua, dia akan menjadi penghubung antara kami dan warga tempatan,” katanya.

Wartawan turut ke sebuah premis perjudian dalam talian di Subang Permai bagi melihat sendiri operasi yang dijalankan warga Bangladesh berkenaan.

Premis yang terletak di tingkat atas pusat snuker itu menyediakan perjudian dalam talian menggunakan komputer tablet.

Ketika tinjauan dilakukan terdapat kira-kira 20 pelanggan sedang asyik berjudi.

Penyelia turut memberitahu terdapat sembilan lagi premis di kawasan berhampiran yang menyediakan perjudian dalam talian.

“Hari ini kedai banyak tutup, mereka kata line panas, tapi kami buka sebab kawan abang (wartawan) pelanggan kami.

“Biasanya kami buka untuk pelanggan tetap saja, sebab itu bila abang (wartawan) datang kami lambat buka,” katanya.

Lelaki tempatan dalang utama

KUALA LUMPUR: Kehadiran warga Bangladesh di kawasan Bandar Pinggiran Subang , Subang Bestari, Pekan Lama Subang dan Pekan Sungai Buloh dekat sini, dipercayai didalangi seorang lelaki tempatan.

Sumber penduduk setempat berkata, lelaki itu dikatakan menyedia pelbagai kemudahan buat warga Bangladesh berkenaan.

“Lelaki ini memang terkenal di kawasan ini, ramai warga asing kenal dia dan jika ada masalah warga asing ini akan cari dia.

“Selain itu, lelaki terbabit turut menyediakan asrama, lesen perniagaan dan rokok seludup buat warga asing berkenaan.

“Penduduk juga sudah membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Imigresen Malaysia (Jim) namun sehingga hari ini jumlah warga asing semakin bertambah,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan warga Bangladesh ini tidak mempunyai permit pekerjaan selain pasport sudah tamat tempoh.

“Kami pelik bagaimana warga Bangladesh boleh berada di kawasan ini dan seolah-olah sangat kebal kerana tiada tindakan diambil pihak berwajib.

“Boleh dianggarkan kira-kira 1,000 warga asing ada di kawasan ini, kalau yang ada permit pun mereka hanya gunakan permit pekerja pertanian tetapi bekerja di sektor perkilangan,” katanya.

Katanya, penduduk mahu tindakan tegas diambil kepada pihak yang melindungi dan warga asing yang kini membentuk koloni di kawasan berkenaan.

Disiarkan pada: October 5, 2019 @ 6:00am
d