utama

Hong Kong darurat

Oleh AFP

Hong Kong: Pemimpin Hong Kong semalam mengeluarkan larangan terhadap penggunaan topeng oleh penunjuk perasaan selepas mengisytiharkan perintah darurat yang pertama dalam tempoh 52 tahun.

Kuasa perundangan era penjajah dikuatkuasakan dalam usaha meredakan bantahan antikerajaan ganas yang berterusan sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam berkata, dia mengeluarkan perintah itu mengikut Ordinan Peraturan Darurat, yang memberikannya kuasa untuk membuat sebarang peraturan ketika darurat atau ancaman terhadap orang awam.

“Kami percaya undang-undang baru ini akan bertindak mencegah perusuh ganas yang bertopeng seterusnya membantu polis dalam penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun, dia menegaskan penggunaan kuasa itu tidak bererti kerajaan secara rasmi mengisytiharkan darurat.

“Walaupun ordinan itu mempunyai perkataan ‘darurat’ dalam namanya, Hong Kong bukan dalam keadaan itu,” katanya.

Larangan yang berkuat kuasa segera itu dikeluarkan selepas Hong Kong melihat keganasan terburuk pada Selasa lalu, iaitu hari sama China menyambut ulang tahun 70 tahun pemerintahan Parti Komunis.

Sebelum pengumuman itu, ribuan penunjuk perasaan, kebanyakannya pekerja pejabat, berarak menerusi kawasan perdagangan bandar itu dengan menegaskan akan melawan undang-undang baru terbabit.

Ahli Parlimen prodemokrasi Claudia Mo berkata: “Saya bimbang ini cuma permulaan. Lebih banyak sekatan menggunakan undang-undang mungkin bakal diperkenalkan.”

Tunjuk perasaan di Hong Kong dicetuskan perancangan untuk membenarkan ekstradisi ke China yang menyemarakkan kebimbangan kebebasan dijanjikan kepada penduduknya semakin terhakis.

Penunjuk perasaan menggunakan topeng untuk mengelak dikenal pasti, selain topi keledar kuning, cermin mata keselamatan dan alat pernafasan sebagai perlindungan terhadap gas pemedih mata dan peluru getah ditembak polis.

Disiarkan pada: October 5, 2019 @ 11:45am
d