utama

Perginya Scarface

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KISAH keganasan seekor harimau belang atau Harimau Malaya jantan pernah menggemparkan negara 13 tahun lalu apabila empat manusia pernah mati dibahamnya di Kelantan.

Namun harimau belang jantan yang diberi nama Scarface (muka berparut) akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada usia 21 tahun di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak.

Kematian Harimau Malaya itu pada jam 3.50 petang semalam disahkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Dato Abdul Kadir Abu Hashim.

Beliau berkata, harimau jantan dewasa itu mati akibat sakit tua di pusat berkenaan.

“Biasanya harimau yang hidup bebas di hutan hanya mampu menjangkau usia sekitar 16 tahun namun Scarface mampu hidup mencecah usia 21 tahun. Pada tahap ini, Scarface sudah amat tua dan mulai uzur awal tahun ini. Menyedari keadaan ini, pihak NWRC memberi perhatian khusus terhadap Scarface ini melalui rawatan mengikut SOP yang telah ditetapkan.

“Karkas harimau ini sudah menjalani proses bedah siasat oleh doktor veterinar Jabatan Perhilitan pada hari yang sama kematiannya. Laporan bedah siasat dikeluarkan secepat mungkin. Karkas Scarface ini akan diawet untuk simpanan pihak Jabatan,” katanya.

Kadir berkata, kematian Scarface kehilangan besar kepada NWRC berikutan ia dianggap sebagai ikon di pusat berkenaan sejak mamalia pemangsa itu ditempatkan di NWRC ini bermula 24 Ogos 2013.

Difahamkan harimau ganas itu yang ditangkap di Felcra Berdang, Jeli, Kelantan, dihantar terlebih dahulu ke Zoo Melaka pada 20 Ogos 2002 sebelum dipindahkan ke NWRC.

Berdasarkan rekod harimau Scarface menyebabkan empat kematian dan hanya seorang sahaja mangsanya terselamat.

Seorang mangsa yang juga penoreh getah wanita berusia 65 tahun terselamat daripada cengkaman Scarface selepas menoreh muka harimau berkenaan menggunakan pisau toreh getah meskipun terjatuh beberapa kali akibat diterkam.

Peristiwa itu menyebabkan harimau jantan ganas itu digelar Scarface.

Kejadian berlaku pada jam 8.30 pagi, 25 November 2006 apabila mangsa, Mek Jah Ismail, 65, sedang menoreh getah di kebun getahnya di Sungai Long, Jeli, Kelantan.

Mangsa parah di kepala, tengkuk, bahu dan dada akibat diterkam harimau itu yang kemudian lari selepas dicederakan dan ditakutkan dengan sebatang kayu.

Tiga bulan sebelum kejadian itu, seorang penoreh getah, Rokiah Latif, 45, ditemui mati dengan kepala dan badannya terputus diserang harimau sama ketika menoreh di Kampung Pasir Dusun, Jeli.

Sebelum itu mangsa, Mohd Zaid Abdul Manaf, 31, ditemui mati di kebun getah di Kuala Belah, Jeli, Kelantan dalam keadaan kepala dan tangannya putus akibat diserang harimau.

Disiarkan pada: October 6, 2019 @ 7:30am
d