utama

Wanita maut disamun

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

WANITA ditemui mati di hadapan rumahnya di FELDA Sendayan di Seremban, malam tadi, dengan beberapa kesan kecederaan di kepala.

Dalam kejadian 9.24 malam, mangsa dikenali Seri Devi, 42, dipercayai baru pulang dari tempat kerjanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2, Sepang sebelum diserang dua lelaki.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, mangsa dipercayai dipukul dan disamun suspek.

“Polis menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam sebelum ke lokasi. Hasil siasatan pada mangsa mendapati ada kesan dipukul.

“Berdasarkan maklumat, mangsa disamun dua lelaki menunggang motosikal. Rantai emas dan beg sandang mengandungi wang tunai RM4,000 milik mangsa hilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Said berkata, hasil siasatan dilakukan polis berjaya mengesan dan menahan dua suspek berusia 34 dan 55 tahun berhampiran lokasi kejadian.

Katanya, suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 10:11am
d