utama

Bekas CEO SSM, anak didakwa lagi [METROTV]

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas dua pertuduhan bersubahat dengan anak lelakinya untuk menerima rasuah berjumlah RM250,000.

Anak lelakinya, Abdulazeez Wan Ruslan yang didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah turut mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim S Indera Nehru.

Bagi pertuduhan pertama, Zahrah, 60, didakwa bersubahat dengan Abdulazeez untuk menerima rasuah berjumlah RM200,000 daripada Samhan Adnan iaitu secara deposit tunai ke dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa bersubahat dengan anaknya itu untuk menerima rasuah sebanyak RM50,000 daripada individu sama yang dimasukkan secara deposit tunai ke dalam akaun yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Zahrah selaku CEO SSM dan Ahli Jawatankuasa Pelaburan SSM didakwa bersubahat menerima rasuah itu sebagai upah meluluskan Memo Dalaman Bahagian Kewangan Dan Akaun, Seksyen Pelaburan dan Pengurusan Kewangan bertajuk Pemilikan Kepentingan Saham Keutamaan ‘Preference Shareholder’ Syarikat Ace Holdings Berhad bertarikh 19 April 2018.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukannya di Maybank Islamic Berhad, Cawangan Mengelembu, di Ipoh, pada 18 dan 25 Mei tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sementara itu, Abdulazeez, 33, pula didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah masing-masing berjumlah RM200,000 serta RM50,000 dari individu sama bagi tujuan yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Shahir Abdul Razak, Syaiful Nazrin Mohd Rahim, Mohd Faizal Mohd Aris dan Dorina Abdullah.

Nurul Wahida kemudiannya memohon mahkamah untuk memindahkan kesemua kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi membolehkan ia dibicarakan secara bersama dengan pertuduhan lain dihadapi Zahra dan Abdulazeez.

Indera Nehru kemudiannya membenarkan permohonan itu dan kesemua kes berkenaan akan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama dengan pertuduhan lain.

Rabu lalu, Harian Metro melaporkan, Zahrah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM5.7 juta termasuk antaranya untuk meluluskan penganjuran beberapa program di bawah agensi itu.

Manakala, Abdulazeez turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima rasuah dan bersubahat dengan Zahrah untuk menerima suapan.

Berita berkaitan:

  • Bekas CEO SSM didakwa terima rasuah [METROTV]
  • Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 11:05am
    d