utama

'Detik paling mencabar' [METROTV]

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“SAYA banyak kaji dan baca artikel psikologi kanak-kanak terutama cara memujuk mereka,” kata Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Ismarul Nizam Isnin, 30.

Ismarul berkongsi pengalaman membantu menyelamatkan kanak-kanak perempuan, 10, daripada terjun dari tingkat 19 apartmen di Larkin, semalam.

Dia menyifatkan tugas digalas itu detik paling mencabar sepanjang tiga tahun berkhidmat dengan jabatan berkenaan.

“Kerap kali kes cubaan bunuh diri membabitkan orang dewasa tetapi ia kes pertama yang saya hadapi membabitkan kanak-kanak.

“Jadi saya tukar kaedah yang digunakan bagi menangani kes seperti itu sebaliknya mengggunakan teknik percakapan lembut dan tabur janji manis,” katanya ketika berkongsi pengalaman itu.

Beliau berkata, tempoh 15 minit banyak membantu dirinya dan pasukannnya dalam menyelamatkan nyawa kanak-kanak itu.

“Saya banyak tekankan elemen kasih sayang dan kekeluargaan.

“Saya kongsi perasaan dengannya, tindakan ibu bapa marah kerana sayangkan anak-anaknya, bahkan mereka individu penting dalam kehidupan kita,” katanya.

Katanya, dia bersyukur kerjasama bersama anggota wanita yang turut sama dalam kes itu membantu tugasan diberikan.

“Alhamdulillah ilmu psikologi kanak-kanak yang saya baca membantu dalam melaksanakan tugas itu.

“Kanak-kanak itu pergi ke arah saya dan berpaut pada saya sebelum saya membantu menariknya masuk dari tingkap rumah tanpa paksaan serta rela hati,” katanya.

Berkongsi kejadian itu katanya, 19 anggota bersama dua jentera membantu menyelamatkan kanak-kanak terbabit yang berada luar tingkap tanpa jeriji di belabas bangunan.

“Sebaik menerima panggilan, respon segera diberikan dengan anggota dibahagikan kepada dua kumpulan.

“Saya diletakkan pasukan pertama termasuk melakukan tinjauan membabitkan kawasan kejadian, manakala pasukan kedua bersedia dari segi penyediaan tali dan tilam udara,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama dia menawarkan diri untuk membantu memujuk kanak-kanak perempuan itu selepas usaha dilakukan dua anggota polis untuk memujuknya gagal.

Selain itu, dia meminta ibu bapa supaya memahami psikologi anak-anak supaya kejadian seperti itu tidak berulang.

Bahkan paling penting pemasangan jeriji besi pada tingkap di bangunan tinggi untuk keselamatan anak-anak.

Berkongsi kerjaya berkenaan katanya, dia tertarik dengan kerjaya bomba kerana banyak membantu masyarakat dalam pelbagai perkara.

Dia yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan berkata, kerjaya pilihannya itu juga mendapat ‘restu’ kedua ibu bapanya hingga mendorongnya memilih bidang itu meskipun menerima banyak tawaran termasuk Jabatan Penjara.

Harian Metro melaporkan tempoh 15 minit menjadi penyelamat15 minit menjadi penyelamat kepada kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun daripada terjun.

Difahamkan, kanak-kanak itu cuba terjun dari bangunan itu selepas berkelahi dengan ibunya kerana masalah berkaitan telefon bimbit.

Berita berkaitan:

  • Gaduh dengan ibu, cuba terjun bangunan
  • Disiarkan pada: October 7, 2019 @ 1:27pm
    d