utama

Idam kejutan

Oleh Syazwan Msar

SEPANG: Pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan enggan ambil pusing dengan kemampuan Vietnam walaupun skuad Naga Emas itu terkenal dengan corak permainan pantas.

Sebaliknya, tonggak pasukan Perak itu menuntut rakan sepasukan supaya tampil lebih yakin dan bersedia melakar kejutan dengan menumpaskan Naga Emas di depan penonton sendiri, Khamis ini.

Brendan berkata, barisan pemain negara sudah bersedia mengharungi cabaran perlawanan ketiga Kumpulan G kelayakan Piala Dunia/Piala Asia 2023.

“Saya tidak terlalu memikirkan rekod pertemuan menentang Vietnam sebelum ini kerana melihat keadaan pasukan sekarang, semua pemain adalah yang terbaik.

“Vietnam memang pasukan yang bagus, namun pada perlawanan akan datang kami pasti tampil berbeza dan ia akan menjadi pertembungan menarik,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Mengikut rekod, Harimau Malaya mencatatkan tiga kekalahan, manakala masing-masing satu seri dan tewas ketika bertemu Vietnam pada pertandingan peringkat benua sebelum ini.

Skuad negara membawa misi mendapatkan tiga mata dari Hanoi bagi memperbaiki kedudukan dalam carta kumpulan dengan kemenangan 6-0 ke atas Sri Lanka dalam aksi persahabatan kelmarin menjadi pembakar semangat.

Pada 10 September lalu, Malaysia tewas 1-2 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas memulakan kempen kelayakan dengan langkah kanan apabila menundukkan Indonesia 3-2 di gelanggang lawan pada 5 September.

Keputusan itu meletakkan Harimau Malaya di kedudukan ketiga kumpulan di belakang pendahulu, Thailand dan UAE yang menghuni tangga kedua.

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 5:31am
d