utama

Tinggal rangka

Oleh Mohd Sabran Md Sani

MAYAT wanita warga emas berusia 78 tahun ditemui di bilik air di rumah sewanya di Jalan Seneka, Taman Century Garden di Johor Bahru, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mayat Hooi Mee Mee @ Khor Baby yang tinggal rangka ditemui pada 2.35 petang.

Katanya, Pusat Kawalan Daerah JBS, menerima panggilan telefon dari orang awam yang juga broker rumah berhubung kejadian itu.

“Pengadu yang juga broker rumah memberitahu terjumpa rangka manusia di rumah di Taman Century Garden, di sini.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati rangka manusia ditemui di pintu bilik air dalam bilik di rumah itu,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, pemeriksaan pihak polis ke atas rangka manusia dibuat dan mendapati tiada tanda unsur perbuatan jenayah.

“Siasatan di tempat kejadian tidak menemui apa apa senjata yang menjurus kepada perbuatan jenayah,” katanya.

Menurutnya, broker rumah berkenaan mendakwa datang ke rumah itu untuk bertemu penyewa rumah.

“Ini kerana rumah itu akan dijual kepada orang lain, namun sebaik tiba di rumah itu penyewa gagal menjawab panggilannya.

“Pengadu membuka pintu yang dikunci dari dalam. Apabila diperiksa dia menemui rangka manusia di pintu bilik air dalam satu daripada bilik di rumah itu,” katanya.

Pengadu katanya, menghubungi pihak polis dan rangka manusia dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, untuk bedah siasat.

Katanya, wanita itu dianggarkan sudah meninggal dunia dalam tempoh lebih enam bulan, manakala keluarga si mati sedang dikesan bagi tujuan siasatan dan tuntutan mayat di HSA.

“Sehingga kini tiada unsur jenayah atau khianat ditemui dalam kejadian ini dan siasatan mati mengejut dibuat dalam kes ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2019 @ 12:54pm
d