utama

Kejutan buat peminat

Oleh Rudy Imran Shamsudin

SELEPAS hampir 10 tahun menyepi daripada dunia nyanyian tanpa lagu baharu, pelakon jelita mendapat jolokan primadona alaf ini, Erra Fazira kembali dengan Menangkah Cinta yang dihasilkan komposer berbakat dan penyanyi lagu ketuhanan, Hafiz Hamidun.

Ramai memuji kemampuan Erra menyanyikan lagu itu dengan baik malah Menangkah Cinta ‘trending’ di kebanyakan saluran digital muzik.

Bagi meraikan kembalinya Erra dengan lagu Menangkah Cinta, malam ini akan dilancarkan Klip video lagu yang diedarkan Sony Music Entertainment Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama Strumhit Entertainment dan MindOrder Sdn Bhd.

Kejutan buat peminat apabila Erra menampilkan teman istimewa juga penyanyi, Shahir sebagai pelakon lelaki dalam klip video terbabit. Klip Video Menangkah Cinta akan mula bersiaran di YouTube dan saluran digital muzik lain pada jam 8 malam ini.

Pastinya ramai yang tertanya-tanya adakah penampilan Shahir yang popular dengan lagu Aku Yang Berdosa itu bermakna Erra dan Juara Akademi Fantasia musim kelapan itu kini sudah kembali bersama?

Seperti umum tahu, sebelum ini sebaik timbul gosip dan kontroversi Shahir bersama beberapa wanita, Erra membuat keputusan tidak lagi berkawan rapat dengan penyanyi itu. Tiada lagi kemunculan mereka berdua di laman sosial masing-masing seperti sebelum ini.

Berbicara mengenai perkara ini, kata Erra, kemunculan Shahir tidak bermakna mereka masih mempunyai hubungan istimewa atau dalam erti kata lain masih bercinta.

“Sebenarnya penampilan Shahir dalam klip video Menangkah Cinta untuk menunjukkan kami masih mampu bekerjasama dan tidak timbul ada hubungan istimewa atau tidak. Antara kami sahaja yang faham mengenai perkara ini.

“Untuk pengetahuan umum, saya tidak berhubung dengan Shahir hampir setahun. Disebabkan mahukan Shahir tampil dalam klip video ini barulah saya menghubunginya selepas sekian lama tidak berjumpa.

“Sewaktu menghubungi Shahir pun sebenarnya saya mengambil risiko sama ada dia mahu atau tidak membintangi klip video Menangkah Cinta. Syukur apabila Shahir sendiri berkata mengapa tidak? Dia melakukannya atas persahabatan terjalin antara kami.

“Sepanjang proses pembikinan klip video ini yang dilakukan akhir September lalu ia tidak menunjukkan kami masih mempunyai hubungan istimewa sebaliknya antara kami masih profesional. Kami bekerja dalam konteks pernah berkawan dan masih berkawan. Tidak ada langsung indikasi menunjukkan wujudnya hubungan istimewa,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai pemilihan Shahir kata pelakon yang mula melonjak namanya menerusi filem Sembilu itu, ia datang daripada pihak produksi termasuk Hafiz selaku pengarah bersama.

“Pada awalnya kami mahu melamar Remy Ishak sebagai bintang jemputan dalam klip video ini tetapi mereka kata dia pelakon residen Datin Alyah. Kemudian, kami melamar Ungku Ismail Aziz tetapi dia pula sibuk.

“Mereka kemudian mencadangkan kami menampilkan Awie bagi mewujudkan elemen sensasi dan bagi saya kalau mahu sensasi baik kita tampilkan Shahir. Alhamdulillah, atas dasar setia kawan Shahir bersedia membantu pihak produksi Menangkah Cinta,” katanya.

Ditanya kemungkinan penampilan Shahir akan mencetuskan isu kerana kontrovesi yang terkait dengan penyanyi itu sebelum ini, kata Erra, apa juga masalah dihadapi temannya itu dengan mana-mana wanita sebelum ini dia tidak mahu campur.

“Dia menghormati peribadi saya dan begitu juga dengan saya. Sebelum ini saya pernah memberikan kenyataan sudah lama tidak berjumpa Shahir. Jadi jangan kaitkan Shahir dengan saya.

“Sebelum ini pelbagai gosip antara kami timbul termasuk isu kami mahu berkahwin tetapi tidak ada dan kami memutuskan hubungan sedangkan masih berhubung. Sebelum ini sudah berkali-kali terangkan saya tetap berhubungan dan berkawan walaupun tidak seakrab dulu dengan Shahir,” katanya.

Jelas Erra lagi, penampilan khas Shahir dalam Menangkah Cinta menunjukkan mereka masih berbaik walaupun tidak serapat dulu.

"Kalau ikutkan, saya berkawan dengan semua bekas kekasih mahupun bekas suami. Kami saling menghormati dan masing-masing sudah matang. Tidak perlulah hendak bergaduh dan bermusuh termasuk dengan Shahir,” katanya.

Shahir pula sewaktu ditemui menjelaskan, dia bersedia tampil dalam klip video Menangkah Cinta kerana mahu memenuhi permintaan Erra yang meminta bantuannya.

“Tidak ada keadaan yang menghalang saya menjayakan klip video ini. Lagipun, saya sudah lama kenal dengan Erra. Saya tahu dia bagaimana, jadi untuk bekerja tidak ada masalah langsung,” katanya.

Kemungkinan kemunculan Shahir akan menimbulkan gosip cinta antara dia dan Erra, kata Shahir, dia tidak mahu ambil pusing mengenai perkara itu.

“Masalahnya, kalau saya mahupun Erra tidak berbuat apa-apa pun, orang masih bergosip dan buat cerita mengenai kami. Bagi saya kerjasama kami dalam klip video ini tidak ada apa pun untuk dijadikan isu, tambahan pula kita sama-sama artis dan tahu bersikap profesional apabila bekerja,” katanya.

Kata Shahir atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi pembabitannya dalam klip video Menangkah Cinta juga menunjukkan dia dan Erra masih berkawan, walaupun sebelum ini pelbagai cerita ditimbulkan.

“Saya percaya isu yang ditimbulkan membabitkan saya dan Erra sebelum ini kerana mahu melihat kami bermusuh tetapi perkara itu langsung tidak berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: October 9, 2019 @ 5:30am
d