utama

Budak jatuh longkang dikhuatiri lemas

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

BUDAK lelaki berusia 10 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh longkang ketika bermain bersama rakannya di Bukit Permai, di Ampang, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan, Mohd Faizal Md Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.22 petang sebelum mengerahkan satu jentera bersama sembilan anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya difahamkan ketika kejadian mangsa bersama rakannya sedang bermain berhampiran longkang di lokasi itu sebelum dia terjatuh.

“Terdahulu, rakannya yang cuba menyelamatkan mangsa namun gagal menyebabkan dia hanyut ke parit dan dipercayai sudah memasuki Sungai Kerayong.

“Setakat ini usaha mencari mangsa lelaki berusia 10 tahun itu diperluaskan termasuk di tebing sungai terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Faizal berkata, pihaknya turut dibantu 19 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), 15 polis serta lima pasukan bomba sukarela dari Sri Serdang dan Gombak.

“Setakat ini operasi diteruskan sehingga mangsa berjaya dijumpai,” katanya.

Sementara itu, BERNAMA hari ini melaporkan difahamkan semasa kejadian, mangsa bersama-sama beberapa rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah dari kelas agama.

Ibu mangsa Noor Fara Wahida Mohd Noor, 34, ketika ditemui BERNAMA di rumahnya di Taman Bukit Teratai, pagi ini, hanya menangis dan tidak mampu untuk bercakap.

Sementara itu, ayah tiri mangsa Isma Wahyumi Zulkifli, 25, berkata mereka hanya mampu berdoa agar anak bongsu daripada dua beradik itu ditemui secepat mungkin.

Ahli keluarga kanak-kanak itu juga berkumpul di rumah mangsa untuk memberikan sokongan kepada mereka.

Disiarkan pada: October 9, 2019 @ 11:32am
d