utama

Gopinathan kini Muhammad Gopi Rizqi [METROTV]

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

“SUDAH lama saya tertarik dengan Islam apabila sering melihat rakan solat dan menjalani kehidupan sebagai muslim.

“Kira-kira dua tahun saya memendam hasrat untuk memeluk Islam sebelum hari ini hati saya terbuka mengucap dua kalimah syahadah secara rasmi.”

Demikian kata bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Pahang, R Gopinathan yang mengumumkan dirinya memeluk Islam, hari ini.

Ketika dihubungi Harian Metro, dia mengakui mengambil keputusan untuk mengucap kalimah syahadah secara rasmi di Pejabat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (MUIP) Pahang di Kuantan pada 11 pagi.

“Saya ditemani ibu saudara hari ini dan melafazkan kalimah syahadah di hadapan seorang ustaz.

“Alhamdulillah segalanya berjalan lancar,” kata pemain sayap yang kini beraksi untuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FA.

Pemain berusia 30 tahun itu berkata, hasratnya untuk memeluk Islam sudah diketahui keluarganya dan diterima baik.

“Sebelum ini ada tiga empat saudara terdekat saya memeluk Islam, saya banyak perhatikan cara kehidupan mereka selain melihat rakan Islam lain.

“Apabila melihat mereka solat dan menjalani ibadah membuatkan saya tertarik,” katanya.

Gopinathan berkata, selepas menjadi muallaf dia menggunakan nama Muhammad Gopi Rizqi Rama Chandra.

Pada 2016, Gopi menyertai skuad Selangor setelah enam tahun menyarung jersi skuad Tok Gajah.

Beliau kemudian menerima tawaran untuk beraksi dengan skuad Johor Darul Takzim pada 2017.

Disiarkan pada: October 9, 2019 @ 3:38pm
d