utama

Dugaan darah manis - Nadia

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PERKAHWINAN adalah fasa dalam kehidupan yang tentunya akan mengubah hidup seseorang. Bagi pelakon, Nadia Brian, dia yang bakal diijab kabul dengan pasangannya kurang sebulan dari sekarang menantikan saat bahagia itu untuk dikongsikan.

Nadia yang mula nampak seri pengantinnya, berkongsi mengenai persiapan majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung pada 9 November depan.

“Proses persiapan berlaku sedikit demi sedikit dan banyak kekangan terutama dari segi waktu kerana saya dan tunang masing-masing ada komitmen kerja.

“Namun, semuanya diuruskan dengan bantuan keluarga dan perancang perkahwinan yang dilantik untuk memastikan semuanya berjalan lancar,” katanya.

Berbicara mengenai cabaran mendekati hari perkahwinan, Nadia sendiri menganggap itu seperti ujian yang akan membuatkannya lebih matang saat tarikh keramat itu hadir.

“Perkahwinan adalah satu hal baharu dalam kehidupan saya. Ia juga satu fasa dalam menghalalkan perhubungan antara dua manusia bergelar pasangan.

“Perkahwinan itu sendiri adalah perkara baik dan dalam melakukan sesuatu benda baik, tentunya banyak dugaan dan cabaran yang terpaksa ditempuh,” katanya.

Selain dugaan waktu, Nadia dan tunangnya, Muizz Nasruddin juga berdepan hal lain yang menurutnya, adalah sebahagian daripada kekangan.

“Seperti yang saya jelaskan, waktu adalah kekangan besar buat kami. Selain itu, ada juga dugaan lain antaranya, apabila ada beberapa orang yang mula mendekati dan ingin mengenali kami.

“Saya tak nafikan, sejak berlakon dalam drama bersiri Lelakimu Yang Dulu, nama saya lebih dikenali. Apabila orang dah mula kenal, tentunya akan ada orang yang mula mendekati dan sebagainya.

“Saya anggap itu semua adalah ujian untuk menjadikan saya manusia yang lebih kuat selepas bergelar isteri,” katanya.

Bagi Nadia, paling penting kerjasama dan sikap saling memahami antara pasangan adalah perkara amat perlu dalam sesuatu hubungan.

“Sebagai pasangan, kita umpama bekerja dalam kumpulan dan kerjasama sangat penting untuk memastikan sesuatu hubungan terus kukuh apabila dilanda badai,” katanya.

WATAK JAHAT NAIKKAN NAMA

Siapa sangka, watak jahat yang dibawa dalam drama Lelakimu Yang Dulu mencuri perhatian ramai sekali gus berjaya menaikkan namanya.

“Saya memegang peranan sebagai Zana dan kalau nak diikutkan, Zana ini bukanlah watak antagonis yang secara tiba-tiba menjadi jahat. Ia lebih kepada dendam wanita yang dianiaya.

“Selalunya, watak jahat mesti akan buatkan penonton rasa benci. Berbeza dengan Zana, dia jahat tapi demi mencari keadilan untuk dirinya dan tentunya sebagai manusia, akan ada sedikit rasa dendam dalam hati kita,” katanya.

Bercerita mengenai lakonan, Nadia mengimpikan untuk memegang watak ikonik.

“Saya teringin berlakon dalam karya yang berunsur sejarah seperti Embun lakonan Datin Seri Umie Aida. Saya memang kagum dengan lakonannya dan sentiasa menjadikan wataknya sebagai Embun satu contoh,” katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 5:30am
d