utama

'Malaysia dah lain...'

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Tonggak import UKM FC, Milad Zanidpour mengakui terpegun dengan peningkatan mendadak aksi skuad Harimau Malaya sejak akhir-akhir ini.

Milad yang pernah beraksi untuk pasukan Iran dengan memiliki 13 kap menyifatkan aksi memukau skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang hampir memalukan skuad gergasi Asia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Bukit Jalil bulan lalu adalah bukti skuad Malaysia kini semakin meningkat.

Dalam aksi itu, Harimau Malaya yang mendahului pada awal permainan sekadar tewas tipis 1-2 di tangan UAE yang menghuni tangga ke-66 dunia berbanding Malaysia di tempat ke-158.

Jelas Milad, peningkatan baik itu sebenarnya didorong oleh faktor saingan Liga Malaysia (Liga M) yang semakin kompetitif hingga akhirnya membawa kesan positif kepada skuad kebangsaan.

“Saya rasa sekarang kualiti bolasepak di Malaysia semakin meningkat, saya pernah melihat perlawanan skuad kebangsaan bermain sebelum ini.

“Sekarang Malaysia mempunyai pemain yang lebih baik dengan teknik dan taktik yang semakin meningkat malah saya dapat lihat rakyat Malaysia amat gemar bola sepak.

“Saya rasa tidak mustahil pasukan bola sepak Malaysia akan menduduki kelompok teratas di Asia satu hari nanti,” katanya.

Mengulas mengenai final kedua Piala Cabaran malam esok, dia melaungkan amaran UKM FC akan bangkit untuk merebut trofi berkenaan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Katanya, walaupun pasukannya tumbang 1-0 kepada Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada aksi final pertama Piala Cabaran sebelum ini, ia langsung tidak mematahkan semangatnya kerana peluang masih terbuka buat kedua-dua pasukan menggapai impian memburu gelaran pertama.

”Saya rasa berdasarkan perlawanan sebelum ini, kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang cerah. Barisan pertahan UKM FC beraksi dengan baik walaupun melepaskan satu gol kerana kami berjaya menyekat JDT II daripada mencipta banyak peluang.

“Apa yang kami perlu lakukan adalah kekal bersemangat dan berusaha kerasa dalam perlawanan itu nanti,” katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 5:30am
d