utama

Pergi sebelum terima sarjana

Oleh Norzamira Che Noh

SHAH ALAM: Impian seorang graduan untuk menjadi pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia sebulan selepas tamat pengajian peringkat ijazah sarjana.

Syed Shahfuddin Syed Zainal Abidin, 52, graduan Sarjana Komunikasi Massa UiTM meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 12 Januari lalu.

Isterinya, Nor Aziah Yahya, 45, berkata, semua berlaku terlalu pantas dan beliau tidak menyangka suami menghidap penyakit berbahaya.

“Arwah menyambung pengajian di peringkat sarjana kerana mahu menjadi pensyarah malah bercadang mahu berhenti kerja sebagai pengarah akaun sebuah syarikat pengiklanan apabila berusia 55 tahun.

“Dia memang sihat ketika mula menyambung pengajian pada 2015 dan sepatutnya tempoh pengajian sarjana itu adalah dua tahun setengah. Bagaimanapun, akibat kekangan masa, dia mengambil masa empat tahun,” katanya.

Nor Aziah ditemui selepas menerima ijazah Sarjana Komunikasi Massa bagi pihak arwah suaminya di Istiadat Konvokesyan UiTM ke-91, kelmarin.

Ijazah berkenaan disampaikan Naib Canselor UiTM, Profesor Dr Mohd Azraai Kassim.

Katanya, tugasan terakhir suaminya di universiti adalah pada 26 Disember tahun lalu iaitu tiga minggu sebelum disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat.

Nor Aziah berkata, pada awalnya, arwah suami mengadu tidak selesa di perut dan hasil pemeriksaan awal, pihak hospital gagal mengesan kanser yang dialaminya.

“Selepas tiga minggu baru dapat pastikan ia adalah kanser limfoma dan dia meninggal dunia tidak lama selepas itu.

“Walaupun impiannya tidak kesampaian, usaha dan masa yang dikorbankan untuk mendapatkan ijazah ini pasti menjadi kebanggaan dan pembakar semangat untuk anak kami,” katanya.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 5:50am
d