utama

'Teksi air' seludup manusia

Oleh Ibrahim Isa

KOTA TINGGI: Digelar sindiket ‘teksi air’ yang berulang-alik menceroboh negara ini untuk melakukan jenayah penyeludupan manusia.

Sindiket membabitkan warga Indonesia ini dikesan menggunakan bot kayu atau bot pom pom untuk menjalankan aktiviti penyeludupan terutama pada waktu malam.

Terbaru, sebuah bot milik sindiket ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) di kedudukan 2.0 batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop, petang kelmarin.

Pengarah ZMTS, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, ‘teksi air’ itu ditahan pada jam 2.40 petang selepas pasukan ronda APMM mendapati ia bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Kami turut menahan dua lelaki warga Indonesia berusia 16 dan 47 tahun yang berada di dalam bot kayu tanpa tanda nama itu. Tiada penumpang atau kargo dikesan namun semua tangkapan dan bot berkenaan dibawa pulang ke Pangkalan ZMTS bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Kastam 1967,” katanya.

Menurutnya, tangkapan dilakukan sebagai langkah pencegahan kejadian jenayah dan rompak membabitkan bot kayu seumpama itu.

Katanya, penahanan dilakukan bagi menguatkuasakan Pekeliling Pelabuhan N0 67/2017 yang mengehadkan bot-bot asing menjalankan perkhidmatan dalam Had Pelabuhan.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 6:00am
d