utama

Selesai hutang dulu

Oleh Mohd Rizal Abdullah

SUNGAI PETANI: “Saya bukan seperti disangka, malah sama sekali tidak pernah lupakan anak dengan bekas isteri arwah,” kata Nour Shafinar Harun, 31.

Balu Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya itu berkata, dia kesal dan terkilan apabila dituduh merampas hak anak arwah.

Menurutnya, disebabkan kenyataan berat sebelah, dia dikeji seolah-olah dirinya menafikan hak anak arwah dengan bekas isterinya.

“Saya dianggap membolot semua hasil wang sumbangan, sedangkan saya menerangkan perkara itu kepada pihak bekas isteri dan keluarga mentua sebelum ini.

“Ada sumbangan belum diterima, bagaimana saya dapat serahkan selain perlu menguruskan pelbagai hal perkara yang lebih penting.

“Sumbangan itu akan diberi hanya perlu bersabar, kenapa tergesa-gesa tambahan arwah baru meninggal dunia bulan lalu,” katanya di sini, semalam.

Katanya, di sebalik perkara ‘hasil’ dibincangkan, bukan semua orang tahu mengenai hutang-piutang arwah yang perlu diselesaikan.

“Tidak perlu saya dedahkan satu persatu, cukup saya beritahu saya perlu selesaikan urusan berkaitan arwah terlebih dahulu.

“Kenapa saya diasak seolah-olah saya mencuri duit anak yatim, sedangkan wang sumbangan itu diamanahkan kepada saya dan keluarga,” katanya

Nour Shafinar berkata, ada sumbangan yang dimasukkan terus ke akaun anak termasuk anak bekas isteri tanpa melaluinya.

“Justeru, dia tidak perlukhuatir dan tidak timbul isu membolot harta anak yatim. Saya amat terguris dengan kenyataan dan komen luar terhadap saya tanpa tahu hal sebenar,” katanya.

Ditanya hubungannya dengan bekas isteri arwah, Jamilah Ismail, 37, dan bapa mentua, AR Badul, Nour Syafinar berkata, dia tiada sebarang masalah dengan mereka.

“Saya tidak kecil hati meskipun kenyataan dikeluarkan seolah-olah memburukkan saya, mereka ada hak bersuara,” katanya.

Berita berkaitan

'JKM ambil maklumat dua anak Mejar Zahir'

Disiarkan pada: October 12, 2019 @ 5:50am
d