utama

Pelawak Kamal Chilok meninggal dunia

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

ANGGOTA kumpulan lawak Chilok, Mohd Kamal Shah Saharuddin, 30 atau Kamal Sumbu meninggal dunia di Hospital Putrajaya, di sini, hari ini.

Perkara itu disahkan rakannya yang juga artis, Atoi Tohet ketika dihubungi Harian Metro.

Atoi berkata, dia menerima berita itu sebaik dihubungi beberapa rakannya yang berada di hospital berkenaan jam 5 petang.

“Saya meminta semua peminat mendoakan dan sedekahkan al-Fatihah kepada arwah,” katanya.

Kamal mengalami pendarahan dalam kepala, patah bahu dan kaki selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Putrajaya jam 2 petang kelmarin.

Ketika kejadian, dia dalam perjalanan menghantar pesanan makanan patin tempoyak yang diusahakannya kepada pelanggan.

Kamal pernah menyertai Maharaja Lawak Mega (MLM) pada 2016 dan 2018 selain merangkul naib juara Bintang Mencari Bintang pada 2014.

Ketika dihubungi Harian Metro baru-baru ini, Kamal memberitahu dia akan berentap di kerusi panas MLM 2019 yang akan bersiaran pada 1 November ini.

Arwah yang juga bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor memberitahu mahu meluaskan bakat sebagai penyampai radio.

Disiarkan pada: October 12, 2019 @ 6:04pm
d