utama

Tangan dibuang belum jumpa lagi

Oleh Nur Saliawati Salberi

USAHA pencarian bahagian pergelangan tangan mangsa pembunuhan kejam yang mayatnya ditemui berselerakan di Kampung Ladang, Krubong masih dilakukan polis.

Ketua Polis Melaka Datuk Mat Kasim Karim berkata, beliau difahamkan bahagian tangan milik mangsa yang dibuang ke dalam tong sampah masih belum ditemui.

“Bahagian tangan belum dijumpai dan ia masih dicari dalam melengkapkan bahagian badan yang lain.

“Ia difahamkan dibuang ke dalam tong dan kemudiannya diangkut oleh pihak ditugaskan untuk dibuang selain sudah lama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Mat Kasim berkata, tiada perkembangan terbaharu selain pegawai penyiasat kini sedang melengkapkan siasatan termasuk dapatan daripada proses bedah siasat.

Beliau berkata, dalam melengkapkan laporan penuh beberapa perkara perlu dilengkapkan terlebih dulu.

Bagaimanapun ketika diminta mengulas mengenai lokasi penemuan anggota badan terbaharu iaitu kepala mangsa, beliau memaklumkan perkara itu tidak dapat didedahkan.

“Dari segi lokasi tidak wajar dijelaskan kerana mengganggu siasatan atau pertuduhan,” katanya.

Harian Metro Khamis lalu melaporkan mayat individu dipercayai mangsa bunuh ditemukan dikerat sekurang-kurangnya lapan bahagian di Kampung Ladang, Krubong, pada 4 petang.

Mayat mangsa dalam keadaan tanpa pakaian itu ditemukan berselerakan di kawasan semak.

Semalam, polis tidak menolak kemungkinan lapan bahagian tubuh mayat manusia dijumpai dalam semak di Kampung Ladang milik dua beranak yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

  • Lagi berita berkaitan Mayat Dikerat Lapan
  • Disiarkan pada: October 13, 2019 @ 3:40pm
    d