utama

Dulu atlet gemilang, kini jual tisu

Oleh Hadzlihady Hassan

SEPANJANG kariernya, wanita ini pernah menerima anugerah Olahragawati Paralimpik 2016 berikutan kecemerlangan ketika mewakili negara dalam acara renang.

Malah, bekas atlet orang kurang upaya (OKU) itu juga pernah mengharumkan nama negara apabila merangkul tujuh pingat emas dan tiga perak masing-masing ketika beraksi dalam kejohanan ASEAN Para Games pada 2001 hingga 2005.

Namun, kegemilangan itu hanya dirasai seketika sahaja dan kini, Koh Lee Peng, 46, terpaksa menjalankan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual tisu di sekitar Bandar Perda, Bukit Mertajam untuk menyara hidupnya.

Cacat kedua-dua kaki dan bergerak dengan kerusi roda, Koh menerima cemuhan masyarakat apabila didakwa dipergunakan pihak tertentu untuk mengutip derma dan cari wang dengan mudah.

Selain ada juga antara mereka yang mengatakan dia warga asing yang berasal dari Vietnam, Thailand atau Filipina.

“Jika diikutkan, memang kecewa dengan tohmahan orang ramai itu kerana saya menjual tisu untuk mencari rezeki, menyara hidup saya dan bukannya meminta sedekah.

“Namun, ramai yang memandang sinis pekerjaan ini, malah mereka pun tidak tahu saya bekas atlet renang OKU yang harumkan nama negara satu masa dahulu,” katanya yang ditemui ketika menerima sumbangan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di Taman Tun Sardon, Georgetown, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim dan Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Koh berkata, sebelum ini dia bekerja di kawasan pulau namun, pergerakannya terbatas kerana perlu menaiki tangga untuk ke pejabat.

Katanya, dia mula berniaga selepas berjumpa kenalan yang terpisah 20 tahun lalu.

“Rakan tawarkan peluang belajar selok belok perniagaan dan saya tidak menolak kerana mahu belajar berdikari walaupun terpaksa menerima cemuhan orang ramai,” katanya.

Sementara itu Noorul Ariffin berkata, selain menerima wang sara hidup berjumlah RM300 sebulan, YAKEB turut menyerahkan cek berjumlah RM5,000 sumbangan Yayasan Tan Sri Muhyiddin kepada bekas atlet renang itu.

“Selain itu, kunjungan kita hari ini juga bagi mengukur kaki palsu yang akan diserahkan kepada bekas atlet bola sepak negara (V Krishasamy, 71) yang kaki kirinya terpaksa dipotong akibat kencing manis.

“Kaki palsu berharga RM10,000 itu akan diserahkan selepas ia siap kelak,” katanya yang memberitahu YAKEB turut membantu membiayai rawatan bekas atlet bola sepak negara era 70-an, Rahim Mohamad, 63, yang menghidap sakit jantung.

Katanya, Rahim dimasukkan ke hospital untuk jalani pembedahan jantung dengan bil mencecah RM5,000.

Menurutnya, semua kos rawatannya atas pembiayaan YAKEB sejak 2013.

Disiarkan pada: October 13, 2019 @ 6:04pm
d