utama

'20 minit pandang rumah'

Oleh Nur Saliawati Salberi

“KIRA-kira 20 minit mereka dilihat duduk di motosikal sambil memandang ke arah rumah.

“Saya tak tahu apa tujuannya, bagaimanapun tidak lama selepas itu mereka berlalu pergi,” kata Hong, 60- an, jiran mangsa pembunuhan kejam yang mayatnya ditemui berselerakan di Kampung Ladang, Krubong, Melaka Khamis lalu.

Menurutnya, tengah hari semalam individu dipercayai ahli keluarga iaitu ibu, kakak dan seorang anak kecil dilihat berada di hadapan rumah yang didiami wanita berkenaan.

Katanya, dia dapat mengecam motosikal dan individu berkenaan kerana sering kali melihat mereka mengunjungi rumah itu sebelum ini.

Dia yang menetap di situ sejak 11 tahun lalu berkata, pada mulanya dia curiga selepas dikunjungi polis tengah hari Khamis lalu yang bertanyakan mengenai jirannya itu.

“Apa yang saya ingat polis bertanya ada melihat wanita berkenaan dalam tempoh dua atau tiga hari kerana dimaklumkan dia hilang.

“Bagaimanapun saya dan suami terkejut apabila mengetahui berita kematiannya yang tragis melalui media,” katanya ketika ditemui hari ini.

Warga emas itu berkata, dia tidak menyangka jika perbuatan itu dilakukan lelaki yang juga suami wanita terbabit.

Katanya, lelaki warga Singapura itu dilihat sangat menyayangi anak mereka selain selalu membawanya bersiar-siar menaiki motosikal pada waktu petang.

“Walaupun dia jarang ada di rumah namun apabila terserempak lelaki itu menyapa atau senyum,” katanya.

Harian Metro melaporkan, polis menahan lelaki warga Singapura disyaki terbabit dalam kes pembunuhan kejam itu kelmarin.

Terdahulu, mayat individu dipercayai mangsa bunuh ditemukan dikerat sekurang-kurangnya lapan bahagian di Kampung Ladang, Krubong 4 petang Khamis.

Mayat mangsa dalam keadaan tanpa pakaian itu ditemukan berselerakan di kawasan semak.

  • Lagi berita berkaitan Mayat Dikerat Lapan
  • Disiarkan pada: October 13, 2019 @ 9:11pm
    d