utama

'Ambil keropok... ambil keropok' [METROTV]

Oleh Alias Abd Rani

LAIN dirancang, lain pula yang datang. Itu yang berlaku ke atas tiga penuntut asasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila rancangan mereka untuk merakam video tugasan diganggu beruk jantan.

Malah, gelagat mereka yang tiba-tiba diserang haiwan itu bukan mengundang simpati, sebaliknya tawa selepas video rakaman kejadian tersebar di laman sosial.

Insiden melucukan itu ketika Amaleen Iman Ahmad Ridzuanullah, Nur Syahira Afeeqa Mohd Zubil dan Nur Atheera Zulkarnain masing-masing berusia 18 tahun berkumpul di ruang santai berdekatan Kolej Kediaman Seri Mas, UKM.

Nur Atheera berkata, mereka duduk di kawasan berkenaan pada 1 tengah hari, 10 Oktober lalu untuk membuat rakaman bagi subjek kimia yang ditugaskan pensyarah.

“Sebaik menekan butang rakam pada telefon bimbit, seekor beruk jantan tiba-tiba menerpa ke arah kami menyebabkan kami lari ketakutan dan tidak sempat mengambil apa-apa barang.

“Sebelum itu, seorang daripada rakan sudah nampak beberapa beruk berhampiran tempat kami duduk, tetapi tidak sangka pula ia berani datang dan menyerang.

“Dalam keadaan panik itu, rakan hanya menyebut ‘ambil keropok... ambil keropok’ sahaja. Kami langsung tidak fikirkan pasal telefon bimbit yang masih dalam mod merakam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bercerita lebih lanjut, katanya, kawasan itu dipilih kerana suasana tenang dan sesuai untuk rakaman bagi pengenalan tugasan mereka.

Dia juga mengakui maklum mengenai kemunculan beruk di kawasan berkenaan tetapi ia biasanya keluar pada lewat petang.

“Sebab itu kami berani ke situ kerana ingatkan beruk banyak pada petang. Tidak sangka pula boleh jadi begini,” katanya.

Susulan insiden itu, mereka bertiga memutuskan untuk menyiapkan tugasan di dalam bilik dan serik untuk mengunjungi lokasi berkenaan.

“Nasib tiada apa yang berlaku. Kawasan ini memang banyak beruk dan mujurlah ada orang bantu halau haiwan terbabit,” katanya.

Rakaman video berdurasi 0.24 saat itu dimuat naik di Twittter Nur Atheera dan ditonton seramai 11 juta warga maya.

Beberapa netizen yang menonton rakaman itu meninggalkan komen antaranya, “@fusyop Dia nak selamatkan keropok dulu eh? ‘weh ambil keropok, ambil keropok’ bukan nak selamatkan telefon, ketakutan ya. Haha”.

“@bellakhann Asal ambik keropok! Keropok tak penting hahahahahahahahahah... mengekek aku.”

Disiarkan pada: October 14, 2019 @ 10:00pm
d