utama

Tawar jual dadah tanpa modal

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Bermula dengan menjual dadah tanpa modal sebelum mula membeli bekalan sendiri untuk dijual.

Itu kegiatan dilakukan pasangan kekasih yang aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Sungai Besi di sini, 11 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kedua-dua suspek berusia 29 dan 24 tahun ditahan dalam serbuan pada jam 1.30 tengah hari.

Menurutnya, pemeriksaan di tempat letak kereta tidak menemui sebarang dadah.

“Bagaimanapun, pemeriksaan di rumah sewa didiami kedua-dua suspek terbabit menemui pelbagai jenis dadah termasuk ekstasi, ketamin, pil erimin 5 dianggarkan bernilai RM416,950.

“Kami turut merampas wang tunai berjumlah RM3,660, sebuah kereta Proton Saga dan beberapa barang kemas seperti cincin serta gelang dianggarkan bernilai RM15,860.

“Bekalan dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 13,956 penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, semalam.

Mazlan berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek menjual dadah kepada pelanggannya secara runcit melalui panggilan telefon serta aplikasi WeChat di sekitar Lembah Klang terutama Jalan Klang Lama.

“Soal siasat mendapati mereka mendapat bekalan dadah daripada seorang lelaki tempatan di Seri Kembangan, Selangor.

“Difahamkan, kegiatan mereka mengedar dadah bermula dengan tawaran menjual bahan terlarang itu tanpa mengeluarkan sebarang modal.

“Selepas beberapa kali jualan (dadah), kedua-dua suspek membeli bekalan dadah daripada lelaki terbabit menggunakan wang keuntungan diperolehi sebelum dijual semula kepada pelanggan,” katanya.

Katanya, semakan mendapati pasangan kekasih itu tidak mempunyai rekod jenayah.

“Hasil saringan ujian air kencing terhadap suspek lelaki mendapati dia positif dadah jenis ketamin, manakala teman wanitanya negatif.

“Mereka direman selama tujuh hari bermula 12 Oktober hingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 7:00am
d