utama

'Maaf, badan makcik dah menggigil'

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

“MINTA maaf, makcik masih trauma,” kata Fatimah Latiff, 61, hari ini.

Wanita itu ialah ibu kepada Norfazera Bidin, 27, dipercayai mangsa bunuh kerat lapan bersama anak lelakinya berusia 11 tahun di Kampung Ladang, Krubong, yang ditemui 10 Oktober lalu.

Fatimah ketika dihubungi Harian Metro sempat memberitahu dia masih tidak menerima apa-apa panggilan telefon atau kunjungan daripada keluarga menantunya di Singapura berhubung kejadian menimpa anak bongsunya itu.

“Keluarga sebelah Singapura belum ada call (telefon) atau datang. Makcik masih dalam keadaan trauma, darah tinggi pun naik mendadak selain mengidap kanser tahap tiga.

“Maaf ya, kalau ada apa-apa boleh hubungi anak makcik, tapi sekarang dia tiada sebab ke balai polis untuk urusan kes ini. Ini pun tiba-tiba badan makcik menggigil,” katanya sebelum wartawan memintanya berehat dan mengakhiri perbualan.

Ini adalah kali pertama ibu mangsa berjaya dihubungi pihak media sejak kejadian 10 Oktober lalu kerana masih belum bersedia mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung pembunuhan kejam itu.

Difahamkan, anak kedua Fatimah, Munirah ketika ini masih belum bersedia ditemui media kerana perlu mengutamakan terhadap usaha menyempurnakan jenazah adiknya termasuk mencari bahagian tangan yang masih hilang.

Harian Metro melaporkan wanita dan anak lelakinya itu dipercayai bunuh di rumahnya sebelum mayat dicampak di kawasan semak di Kampung Ladang, Krubong.

Mayat mereka ditemui pemotong rumput yang sedang bekerja di kawasan itu.

Bahagian kepala dua beranak itu ditemui polis di siling rumah mangsa di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, Melaka, kira-kira 8 malam, 11 Oktober lalu.

Susulan kejadian, polis menahan lelaki warga Singapura yang juga suami mangsa, 12 Oktober lalu, kerana disyaki terbabit dalam kes pembunuhan itu.

  • Lagi berita berkaitan Mayat Dikerat Lapan
  • Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 4:17pm
    d