utama

'Terlalu sukar terima kenyataan ini' [METROTV]

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

“SAYA harap siasatan polis akan mengambil kira semua sudut, termasuk kemungkinan pembabitan individu lain dalam pembunuhan kejam adik dan anak saudara saya.”

Itu rayu dan harapan Munira Bidin, 29, kakak kepada Norfazera, 27, dipercayai mangsa bunuh kerat lapan bersama anak lelakinya berusia 11 tahun di Kampung Ladang, Krubong, 10 Oktober lalu.

Dia yang sebelum ini enggan ditemui media kerana terlalu sedih dengan insiden tragis itu berkata, hanya Tuhan sahaja yang tahu kepiluan terpaksa dihadapinya, kakak Norhafizah, 33 dan ibunya Fatimah Latiff, 60, sejak seminggu lalu.

Usaha wartawan Harian Metro menemu bual ketiga-tiga beranak itu di rumahnya di Rumah Pangsa Pegaga, Taman Merdeka , Batu Berendam di Melaka juga terpaksa mengambil masa dua jam untuk memberi mereka ruang bertenang.

Walaupun keputusan ujian DNA (asid deoksiribonukleik) masih belum diperoleh bagi mengesahkan mangsa adalah ahli keluarga mereka, perasaan hiba digambarkan ketiga-tiga beranak itu sebaik sahaja dijemput memasuki rumah dan ia cukup meruntun perasaan wartawan.

Riak wajah Fatimah yang mengidap penyakit darah tinggi, sakit tulang belakang dan kanser tahap tiga bersama kedua-dua anaknya itu, seakan kuat mengesahkan kedua-dua mayat ditemui itu adalah insan tersayang.

“Sebagai kakak yang sangat rapat dengan arwah, terlalu sukar untuk kami menerima kenyataan itu apatah lagi ia berlaku ketika hampir dengan hari perkahwinan saya Ahad ini.

“Malah, saya sebenarnya sudah tawar hati untuk bersanding, namun terpaksa diteruskan kerana semua tempahan sudah dibuat, kad jemputan juga diedarkan, tetapi majlis hanya dibuat secara sederhana.

“Banyak perancangan majlis bersama arwah perlu dibatalkan dan digantikan dengan alunan zikir, bacaan Yasin dan tahlil untuk arwah adik dan anak saudara,” kata Munira mengalirkan air mata.

Menurutnya, fokusnya ketika ini adalah untuk mempercepatkan urusan pengebumian jenazah adik dan anak saudaranya itu selepas mendapat keputusan DNA yang diambil daripada sampel darah ketiga-tiga mereka Isnin lalu.

“Saya merayu dan berharap pihak berkenaan mempercepatkan proses pengesahan supaya kami dapat segera menyempurnakan urusan kedua-dua jenazah.

“Saya juga berharap jemputan majlis persandingan saya Ahad ini tidak bertanyakan soalan berkaitan hal ini yang hanya memburukkan lagi emosi kami sekeluarga,” katanya sebak.

Bagi Norhafizah, dia juga berharap masyarakat dapat menghentikan pelbagai andaian dan spekulasi di media sosial yang hanya menyinggung perasaan keluarga.

“Tolonglah hentikan penyebaran maklumat yang tidak sahih, terutama apabila dikaitkan dengan masalah keluarga sedangkan kami, arwah, suami dan keluarga mentuanya sangat baik dan rapat,” katanya.

Harian Metro pada 10 Oktober lalu melaporkan wanita dan anak lelakinya itu dipercayai bunuh di rumahnya sebelum mayat mangsa dicampak di kawasan semak di Kampung Ladang, Krubong.

Mayat mereka kemudian ditemui oleh pemotong rumput yang sedang bekerja di kawasan itu.

Bahagian kepala dua beranak itu pula ditemui polis di siling rumah mangsa di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, Melaka, kira-kira 8 malam, 11 Oktober lalu lalu.

Susulan kejadian, polis menahan lelaki warga Singapura yang juga suami mangsa, 12 Oktober lalu, kerana disyaki terbabit dalam kes pembunuhan kejam itu.

  • Lagi berita berkaitan Mayat Dikerat Lapan
  • Disiarkan pada: October 16, 2019 @ 4:45pm
    d