utama

Kontraktor tak ikut syarat

Oleh Skuad Khas Harian Metro

“Semasa saya menjalankan dobi layan diri dua tahun lalu, senang saja dapat lesen. Hanya perlu daftar syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mohon lesen premis dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Tak perlu pun kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Suruhanjaya Tenaga (ST),” kata pengusaha dobi hanya mahu dikenali sebagai Badrul, 30-an.

Menurutnya, dia memulakan perniagaan dobi layan diri itu dengan bermodalkan RM150,000 iaitu antara pakej disediakan syarikat pembekal mesin.

Pecahan pakej itu, katanya, termasuk lima mesin basuh, lima mesin pengering, mesin tukar duit, mesin sabun, bangku dan meja, semuanya bernilai RM130,000.

“Baki RM20,000 lagi untuk kos ubah suai termasuk pemasangan saluran perpaipan gas petroleum cecair LPG yang dilakukan kontraktor disediakan dalam bayaran pakej oleh syarikat pembekal mesin berkenaan.

“Saya mengusahakan premis dobi layan diri ini secara bersendirian bukannya francais. Waktu itu tidak tahu ada keperluan perakuan JBPM atau pun ST. Kontraktor pun tak jelaskan perkara ini,” katanya.

Ditanya adakah ada lubang saluran keluar udara di bawah dinding untuk membebaskan gas sekiranya berlaku kebocoran, katanya, kontraktor membina lubang pengudaraan di bahagian atas.

Penjelasan Badrul itu, sekali gus menunjukkan kontraktor berkenaan menyalahi keperluan keselamatan ditetapkan pihak berkuasa iaitu perlunya saluran lubang di bawah berikutan sifat asas gas LPG iaitu butane dan propane, tidak berbau, tidak berwarna serta lebih berat daripada udara dan ringan berbanding air.

Selain itu Badrul mengakui dia menggunakan gas LPG domestik iaitu silinder gas memasak bersubsidi sedangkan sepatutnya premis dobi perlu menggunakan gas LPG industri.

Mengikut harga pasaran setong LPG industri berharga RM260 hingga RM280 berbanding LPG bersubsidi yang harganya RM26.60 setong.

“Secara kasar, sepanjang menjalankan premis dobi layan diri ini saya boleh untung bersih RM3,000 sebulan dan meningkat hingga RM9,000 ketika musim perayaan dan cuti panjang,” katanya.

Laporan muka depan Harian Metro semalam menyiarkan ada dobi layan diri mengamalkan sistem ikut suka saja memasang paip gas LPG bagi untuk mesin pengering sehingga boleh menyebabkan letupan besar jika berlaku kemalangan, sekali gus membahayakan pengguna.

Pengusaha, Syed Azri Syed Alwi, 38, berkata, dia ditawarkan beberapa pakej ketika ingin membuka pusat dobi di Setapak, tiga tahun lalu.

Katanya, dengan modal RM60,000, pengusaha boleh mendapatkan enam mesin dobi dan ada yang membelanjakan RM250,000 untuk kedai lebih besar.

“Memang ada pakej iaitu pemanas dan pam sabun. Berapa banyak mesin akan digunakan bergantung kepada kehendak pengusaha.

“Kita juga perlu kemukakan pelan kepada JBPM untuk kelulusan berdasarkan permohonan. Jadi semua aspek di situ diambil kira,” katanya.

Syed Azri berkata, dia memilih melakukan sendiri semua prosedur itu bagi memastikan dia benar-benar tahu apa yang ada di kedai dobinya.

ST pergiat pantau premis dobi

Suruhanjaya Tenaga (ST) kini menggiatkan pemantauan terhadap premis yang menjalankan perniagaan dobi di seluruh negara bagi memastikan ia beroperasi mengikut spesifikasi dan garis panduan ditetapkan sebelum lesen diberi.

Pengarah Operasi Industri ST, Roslee Esman berkata, sebelum ini kaedah memberi pelesenan bagi perniagaan itu agak longgar berikutan timbul masalah punca kuasa pihak mana seharusnya bertanggungjawab terlebih dulu.

Menurutnya, punca kuasa itu membabitkan ST, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah.

“Kebanyakan yang diamalkan sebelum ini, lesen terus diberi PBT apabila peniaga nak minta lesen dobi layan diri dari pihak berkuasa kerajaan tempatan itu tanpa merujuk ST.

“Waktu itu, ada masalah siapa dulu perlu dirujuk. Ini menyebabkan premis dobi layan diri tumbuh seperti cendawan selepas hujan dan perlu dikawal selia.

“Namun selepas beberapa perbincangan antara ST, JBPM dan PBT mengambil pendekatan setiap permohonan lesen dobi layan diri perlu mendapat kelulusan ST berikutan operasi premis itu perlu mematuhi beberapa kriteria termasuk pemasangan paip gas petroleum cecair (LPG),” katanya ketika ditemui Skuad Khas Harian Metro.

Antara kelengkapan dalam premis dobi layan diri yang memerlukan kelulusan ST, katanya, adalah sistem gas berpaip dilengkapi alat atur untuk perkakas seperti mesin pengering dan pemanas air.

Mengulas lanjut, katanya, pemasangan gas berpaip di premis dobi perlu mengikut spesifikasi dan jarak ditetapkan mengikut Malaysia Standard MS830 dan MS930 serta garis panduan ST.

“Mengikut Seksyen 11, Akta Bekalan Gas 1993 tiada seorang pun boleh menjalankan apa-apa aktiviti pengimporatan ke terminal penggasan semula, penggasan semula gas, pengiriman gas, pengangkutan gas, pengagihan gas, peruncitan gas atau penggunaan gas melainkan orang itu dilesenkan di bawah akta ini.

“Jika menjalankan apa-apa aktiviti peruncitan atau penggunaan gas melalui sistem perpaipan tanpa lesen hukuman memperuntukkan denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya tidak melebihi RM 1,000 selepas sabitan jika kesalahan itu berterusan.

“Selepas kejadian letupan sebab kebocoran gas di premis dobi layan diri Oktober tahun lalu mengakibatkan dua beranak termasuk seorang maut, pihak ST bersama PBT dan JBPM giat memantau premis berkenaan secara bersepadu,” katanya.

Menurutnya, statistik terkini premis dobi yang sudah memenuhi syarat ST sehingga 7 Oktober lalu adalah sebanyak 688 premis dan permohonan mendapatkan perakuan ST dari seluruh negara setiap bulan terus meningkat.

Katanya, buat masa ini pihaknya melaksanakan pendekatan pendidikan kepada pengusaha sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

ESOK: Derita remaja melecur akibat dobi meletup

Disiarkan pada: October 17, 2019 @ 10:01am
d