utama

Kenapa kejam sangat?

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

“SAYA dan anak menangis selepas tengok keadaan kucing itu. Kenapalah kejam sangat sampai kena potong ekor,” kata Normala Ramli, 36.

Normala ketika ditemui berkata, dia bersama suami dan anak-anak menemui kucing jantan itu di tempat letak kereta di Kuarters Penjawat Awam Presint 15, di Putrajaya, dalam keadaan ketakutan dan kesan darah pada bahagian ekor.

Menurutnya, dia tidak menyangka masih ada manusia yang bertindak kejam ke atas haiwan kesayangan Rasulullah SAW.

“Apabila saya dapat tahu ekornya ada kesan potong, saya terus menangis. Saya biasa baca kisah kucing dianiaya dan tidak sangka dapat melalui sendiri pengalaman itu.

“Saya memang suka dengan kucing sejak kecil begitu juga dengan anak-anak. Anak saya sendiri menangis tengok keadaan kucing itu,” katanya yang juga pengusaha katering.

Katanya, dia jumpa haiwan berkenaan kira-kira 9 malam kelmarin dan ingin membawanya ke klinik haiwan bagi mendapatkan rawatan namun, kucing itu melarikan diri sehinggalah berjaya ditemui semula pagi ini.

Normala berkata, dia terus membawa ke klinik haiwan di Presint 15, Putrajaya, untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, doktor mengesahkan ekor kucing itu ada kesan dipotong dan ekornya hanya tinggal satu sentimeter sahaja selain kesan luka yang teruk.

“Doktor memaklumkan kos rawatan dalam anggaran RM500 dan jika ada komplikasi boleh mencecah antara RM700 hingga RM800.

“Saya akan cuba usahakan untuk menanggung kos rawatan kucing itu kerana tidak sanggup melihat penderitaan haiwan itu,” katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2019 @ 10:55am
d