utama

Produk AMD makin hangat

Oleh Syazwan Msar

Produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) semakin hangat di pasaran apabila semua 34 pelatih siri pertama sudah disunting beberapa kelab gergasi tanah air dan bakal beraksi musim depan.

Malah, ada antara pelatih AMD ditawarkan tiga kontrak bersama pasukan tertentu termasuk dari luar negara selepas melihat keupayaan dan kehebatan mereka di pentas antarabangsa ketika perlawanan persahabatan dan Kejuaraan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) B-18 di Vietnam, baru-baru ini.

Perkara itu didedahkan Pengurus Besar AMD, Muhamad Yusuf Ibrahim yang berkata, Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor dan Kedah serta kelab dari Jepun sudah melamar anak buahnya.

Beliau berkata, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Muhamad Umar Hakeem Suhar Redzuan, Ali Imran Sukari dan Ahmad Zikri Mohd Khalili menerima sekurang-kurangnya tiga tawaran daripada kelab tempatan namun setakat ini belum membuat keputusan atau pilihan muktamad.

“Apa yang boleh saya katakan adalah, 34 pelatih siri pertama AMD sudah ada kontrak dengan pasukan yang tertarik selepas melihat persembahan mereka ketika mewakili negara.

“Ada antara mereka sudah menandatangani kontrak dan sebahagian lagi masih menunggu sebelum membuat keputusan kerana menerima banyak tawaran,” katanya ketika ditemui Arena Metro.

Selain itu, Muhamad Yusuf berkata, ada pelatih AMD dirisik kelab tempatan walaupun baru berusia 13 tahun namun setakat ini wakil pasukan terbabit hanya membuat perjanjian atau kontrak bersama ibu bapa pemain.

“Jika bawah usia 18 tahun adalah di bawah tanggungjawab ibu bapa pelatih dan ada antara wakil terus berjumpa untuk ‘menyunting’ anak mereka supaya bersama pasukan. Perkara terbabit sudah jadi kebiasaan di AMD apabila ada pencari bakat sentiasa memerhati dan merekodkan pemain yang dilihat berpotensi untuk diserapkan ke dalam pasukan,” katanya.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Izhar Moslim berkata, antara perancangan yang sudah digerakkan adalah dengan memancing pemain-pemain berbakat dari seluruh negara termasuk pemain daripada generasi pertama dan kedua produk Akademi AMD.

Malah, dua pemain AMD iaitu Umar Hakeem Suhar Redzuan dan Sikh Izhan Nazrel turut mengaku mendapat tawaran JDT dan Selangor untuk beraksi bersama pasukan terbabit pada musim depan.

Manakala Luqman Hakim Shamsudin pula mendapat peluang beraksi di Eropah bersama kelab Liga Divisyen Satu Belgium, KV Kortrijk, Mac depan.

Disiarkan pada: October 18, 2019 @ 6:00am
d