utama

Tinggal sekeping gambar jadi kenangan...

Oleh Redzuan Muharam

“KAMI baru bertemu pada majlis konvokesyen Selasa lalu, dan tidak sangka itu pertemuan terakhir saya dengannya,” kata Amirul Afiq Abd Latif, 22.

Amirul memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi kisah di sebalik ciapan dan klip video majlis konvokesyen dimuat naik di Twitter, Rabu lalu, yang mengundang rasa sebak warganet.

Menerusi ciapan berkenaan, Amirul yang juga graduan Diploma Pengurusan Perladangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang meluahkan perasaan sedihnya selepas rakannya, Amir Nasriq Abdul Haris, 22, meninggal dunia akibat kemalangan di Bera, Pahang ketika dalam perjalanan untuk ke UiTM Kampus Bandaraya Melaka.

Bercerita lanjut, Amirul berkata, dia dan Amir Nasriq tidak rapat tetapi sering bertegur sapa setiap kali berjumpa antara satu sama lain.

“Kami kenal sejak di semester pertama kerana menuntut dalam jurusan sama cuma tidak akrab memandangkan arwah lebih suka membuat hal sendiri tetapi dia seorang yang rajin dan ringan tulang.

“Baru-baru ini, kami berjumpa ketika majlis konvokesyen dan kebetulan, dia duduk bersebelahan dengan saya.

“Cuma, sikapnya agak berbeza berbanding biasa kerana lebih ramah dan dia juga yang membantu membetulkan kedudukan topi dan jubah supaya tidak senget sebelum naik ke atas pentas.

“Selesai majlis konvokesyen, saya ada mengajaknya mengambil gambar bersama tetapi dia memberi alasan mahu bergambar dengan keluarganya terlebih dulu.

“Akhirnya, kami hanya sempat bersalaman, namun Amir ada mengatakan kalau umur panjang, kita jumpa lagi sebelum berlalu pergi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Anak ketiga daripada empat beradik itu mengakui hairan dengan kelakuan pelik rakannya, namun tidak mahu terlalu memikirkannya memandangkan baru selesai meraikan kejayaan menamatkan pengajian.

“Rupanya, perubahan pelik itu seperti petanda Amir pergi buat selamanya kerana sehari selepas majlis konvokesyen, saya dikejutkan dengan berita pemergiannya menerusi status dimuat naik di aplikasi Whatsapp.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya menghubungi nombor telefonnya dan ternyata, berita itu sahih. Memang sedih, namun saya reda dan lega kerana dapat membantu menguruskan jenazahnya sehingga dikebumikan.

“Allah lebih menyayanginya dan semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya yang kini menetap di Temerloh, Pahang.

Disiarkan pada: October 18, 2019 @ 10:13pm
d