utama

Kongsi gambar terakhir

Oleh Togi Marzuki

Seorang tukang kayu sempat berkongsi gambar pondok kayu dibina kepada anak sulungnya sebelum maut dalam kemalangan jalan raya beberapa jam kemudian.

Mangsa, Salam Ahmad, 56, dikatakan mengirim gambar itu menerusi WhatsApp kepada anak sulungnya, Norfarahidah, 31, dan memaklumkan pondok kayu cengal itu baru siap dibina di Taman Ponderosa Vista, Johor Bahru.

Dalam kejadian jam 4.10 petang kelmarin, van Nissan Vanette dipandu mangsa bertembung lori di Kilometer 7, Jalan Ayer Baloi-Pontian menuju Bukit Batu, Kulai di sini.

Akibat rempuhan itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dengan parah di kepala manakala pemandu lori berusia 30-an tidak cedera.

Norfarahidah berkata, gambar pondok itu dihantar arwah bapanya yang terbabit dalam projek menyiapkan tempahan itu.

“Dua hari sebelum kejadian, bapa sempat menjamu asam pedas kupang bersama ibu di Sungai Ayam, Batu Pahat.

“Menu dipilihnya itu pelik kerana dia memang tidak suka masakan itu sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pontian, semalam.

Anak bongsu arwah, Muhammad Nor Wafly, 17, berkata, Allahyarham menjadikan kemahirannya sebagai tukang kayu dan ukiran untuk menjana pendapatan selain mengambil upah membersihkan tanah penduduk.

Jenazah dihantar ke Hospital Pontian untuk bedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Suluh Batu Pahat, selepas solat Jumaat.

Mangsa berasal dari Kampung Sungai Suluh, memiliki empat anak berusia 17 hingga 31 tahun hasil perkahwinan dengan isteri Saorah Sufian, 56.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila van Nissan Vanette dipandu mangsa dari Ayer Baloi menghala Bukit Batu hilang kawalan sebelum bertembung lori dari arah bertentangan.

“Pemandu lori 10 tan berusia 30-an yang membawa batu tidak cedera.

“Hasil siasatan, kami dapati keadaan jalan lurus namun permukaan jalan basah dan hujan renyai-renyai,” katanya.

Disiarkan pada: October 19, 2019 @ 6:01am
d