utama

Tunku Azizah sertai larian KL Pink Oktober Walk 2019 [METROTV]

Oleh BERNAMA

RAJA Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melepaskan peserta larian santai KL Pink October Walk 2019, hari ini.

Hadir ke perkarangan Hospital Kuala Lumpur (HKL) sekitar 7.30 pagi, Tunku Azizah yang berpakaian sukan berwarna merah jambu turut serta berjalan sejauh satu kilometer bersama lebih 2,000 peserta yang mula tiba di lokasi berkenaan sejak 6.45 pagi.

Larian santai sejauh lima kilometer secara keseluruhan itu adalah sebahagian kempen kesedaran kanser payudara disambut ​di seluruh dunia ​pada setiap Oktober.

Sementara itu, reruai yang menawarkan perkhidmatan pemeriksaan saringan kanser payudara turut dikunjungi Tunku Azizah bersama anakanda, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah sebaik baginda menamatkan larian santai itu.

Lebih menarik, Tunku Azizah tidak ketinggalan menghilangkan dahaga dengan menikmati air Milo dari van disediakan penganjur bersama peserta sambil berkongsi cerita mengenai larian santai disertai mereka.

Pada majlis sama, Tunku Azizah kemudian berkenan mencemar duli berangkat melawat wad radioterapi dan onkologi HKL, sebelum meluangkan masa selama hampir satu jam beramah mesra bersama 45 pesakit di wad berkenaan.

Selain bertanya khabar dan memberi kata semangat kepada pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan, Tunku Azizah turut menceriakan pesakit dengan menyampaikan beg cenderahati disediakan penganjur. ​​

Kehadiran Tunku Azizah dan anakanda baginda di acara larian santai dan wad diiringi Pengarah HKL, Datuk Heric Corray; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi KL Pink Oktober Walk, Dr Ros Suzanna Bustaman.

Disiarkan pada: October 19, 2019 @ 4:51pm
d