utama

Percutian duka, anak empat tahun lemas

Oleh Nur Saliawati Salberi

KANAK-KANAK lelaki ditemui lemas di sebuah taman tema air di Melaka, hari ini.

Muhamad Uzair Amri Muhamad Nur Fikri, 4, ditemui tidak sedarkan selepas mandi di taman tema itu oleh pengunjung pada 3 petang.

Ibunya, Nor Shazelah Rosli, 27, berkata, mereka tiba di taman tema itu untuk bercuti hujung minggu pada tengah hari dan anak sulungnya teruja dan memberitahu ingin segera mandi.

“Arwah pada mulanya ingat kami mahu bawanya mandi di pantai, tetapi apabila tiba di sini (taman tema air), dia terus masuk bilik, salin pakaiannya dan mengajak turun.

“Kami turun ke taman tema air itu selepas zohor.

“Dia memang sudah lama berhajat mahu main di taman tema air dan kami ke situ tanpa memberitahunya kerana mahu membuat kejutan, malangnya lain pula yang berlaku,” katanya ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka, hari ini.

Nor Shazelah berkata, sebelum ini dia tidak sedap hati untuk bercuti sehingga ada rakannya menegur apabila dia suarakan rasa itu.

“Rakan kata sepatutnya saya gembira nak bercuti, tetapi sebaliknya. Memang saya tidak sangka rasa yang saya alami itu petanda kejadian ini,” katanya.

Menurutnya, dia juga perlu kuatkan semangat menerima kehilangan anak sulung daripada dua beradik itu kerana suaminya, Muhamad Nur Fiqri Zakaria, 29, lebih terkesan disebabkan rapat dengan arwah.

Jenazah anaknya itu dijangka dikebumikan di kampung halaman suaminya di Felda Bukit Ramun, Kulai Johor.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR).

Disiarkan pada: October 20, 2019 @ 9:02pm
d