utama

Bunuh kerat lapan: DNA sah milik dua beranak [METROTV]

Oleh Nur Saliawati Salberi

POLIS mengesahkan bahagian badan yang ditemui dikerat sekurang-kurangnya lapan bahagian dan ditemui berselerakan di Kampung Ladang, Krubong, Melaka, 10 Oktober lalu adalah milik ibu dan anak.

Pasangan beranak itu adalah Norfazera Bidin, 27, dan anak lelakinya Muhammad Iman Asraf, 11, yang dipercayai dibunuh suaminya, warga Singapura.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, identiti kedua-dua individu berkenaan disahkan selepas pihaknya memperoleh keputusan rasmi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Beliau berkata, tiga ahli keluarga terdekat sebelum ini dipanggil bagi melakukan ujian DNA.

“Keputusan DNA diterima semalam dan ia sah bahawa milik individu yang dilaporkan dibunuh.

“Keputusan DNA diperoleh menunjukkan ia sepadan dengan sampel diambil daripada beberapa waris terdekat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mengulas lanjut, Nor Yhazid berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri bagi proses pendakwaan.

“Kami sedang melengkapkan siasatan sepenuhnya bagi tindakan seterusnya.

“Manakala, ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek negatif,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, polis tidak menolak kemungkinan lapan bahagian tubuh mayat manusia dijumpai di dalam semak di Kampung Ladang, Krubong, Khamis (10 Oktober) lalu milik dua beranak yang tular di media sosial.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim dipetik sebagai berkata, bagaimanapun, pengesahan akan ditentukan selepas menerima laporan bedah siasat kerana tidak mahu mengganggu proses siasatan.

“Kemungkinan berkenaan (milik dua beranak) ada, tetapi biarlah keputusan itu disahkan secara profesional kerana ada maklumat tidak sah dan itu akan mengganggu siasatan kita selanjutnya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Mayat Dikerat Lapan
  • Disiarkan pada: October 21, 2019 @ 6:35pm
    d