utama

Biar sama macam Rayyana

Oleh Mary Victoria Dass

“SAYA sanggup botakkan kepala untuk menemani Rayyana yang mengalami keguguran rambut akibat rawatan kemoterapi baru-baru ini,” kata bapa kepada kanak-kanak kanser tulang,” Jeffri Senin, 39.

Jeffri berkata, dia memuat naik gambar mereka berdua di laman sosial Facebook (FB) dan menunjukkan komen orang ramai mengatakannya kacak walaupun botak kerana tidak mahu Rayyana yang berusia sembilan tahun merasakan perubahannya itu satu kekurangan.

“Sebagai bapa, saya hanya boleh berikan sokongan moral kepadanya, saya mahu dia kuat dan ceria ketika bergelut dengan penyakit itu. Saya mahu buktikan perubahannya itu tidak sedikitpun menggambarkan kekurangan, sebaliknya ia adalah perkara biasa.

“Saya tidak minta bantuan wang ringgit daripada orang ramai, sebaliknya saya hanya perlukan doa orang ramai supaya anak saya cepat sembuh daripada penyakit ini.

“Saya mahu Rayyana berfikiran positif. Saya akan memikirkan cara hiburkan hatinya yang bertarung nyawa dengan penyakit itu setiap hari,” katanya.

Menurutnya, apabila anaknya itu terhibur, Rayyana tidak akan sedar dia sebenarnya menghidap penyakit berbahaya dan berharap cara itu dapat membantu anaknya pulih dengan cepat.

Jeffri yang juga ahli pertubuhan amal di Kulai berkata, sering berkongsi pengalaman dialami insan lain termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) yang ketiadaan kaki dan tangan namun masih boleh berjaya.

Jeffri yang bekerja sebagai penjual produk Coway dan berniaga di atas talian berharap semua ibu bapa kepada kanak-kanak pesakit kanser sentiasa positif untuk memastikan anak masing-masing kuat melawan penyakit itu.

“Saya berdoa agar Rayyana mahupun kanak-kanak lain yang diuji dengan penyakit akan diberi kesembuhan oleh Allah dan menjalani rawatan yang disyorkan doktor.

“Rayyana menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 14 kali iaitu 3 minggu sekali selama setahun. Dia disahkan menghidap kanser sejak Ogos lalu dan menjalani rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) serta Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Antara kesan ketara dialami Rayyana adalah keguguran rambut sejak kali pertama menjalani rawatan itu,” katanya.

Menurutnya, walaupun sibuk menguruskan Rayyana yang menjalani rawatan, Jeffri tidak melepaskan peluang meneruskan kerja amal termasuk membantu keluarga kurang bernasib baik.

Pengguna FB memuji tindakan Jeffri yang membotakkan kepalanya dalam usaha menghiburkan anaknya yang bergelut dengan kanser.

Ada juga pengguna berpendapat ia suatu pengorbanan bermakna seorang bapa untuk anaknya.

Disiarkan pada: October 22, 2019 @ 6:35am
d