utama

Nasharudin mengaku tidak bersalah

Oleh Nur Lela Zulkipli

BEKAS Timbalan Presiden PAS, Datuk Nasharudin Mat Isa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan 30 pertuduhan pecah amanah jenayah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM4 juta.

Nasharuddin, 57, didakwa melakukan tiga kesalahan mengikut Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa mendepositkan wang peruntukan daripada Kementerian Kewangan Malaysia kepada Global Movement of Moderates Foundation (GMMS) berjumlah RM302,069.60 menggunakan cek milik syarikatnya Wassatiyah Centre For Peace Sdn Bhd ke dalam tiga akaun berbeza milik Sisma Auto (KL), SMR Performance Sdn Bhd dan Duadaya Interior Sdn Bhd.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu dari 9 November hingga 20 Disember 2018.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan tidak lebih 15 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau RM5juta, yang mana lebih tinggi.

Dia kemudian didakwa dengan 30 pertuduhan pecah amanah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membabitkan jumlah sebanyak RM3,721,683.80 antara 2015 hingga 2018.

Jika sabit kesalahan dia boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun, sebatan dan denda.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Country Heights Kajang.

Nasharudin berpakaian kemeja putih dan sut berwarna hitam, kelihatan tenang apabila kesemua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh, hari ini.

Disiarkan pada: October 22, 2019 @ 1:35pm
d