utama

Kejamnya kau dik! [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

KEJAM dan tidak berperikemanusiaan. Itu gambaran bagi tindakan sekumpulan kanak-kanak yang dipercayai mencampak kucing dari aras dua sebuah flat di Jalan Persiaran Gurney, Kuala Lumpur hingga mati Jumaat lalu.

Kisah itu mendapat perhatian warganet selepas video seekor kucing tidak bernyawa di jalan dimuat naik pemuda dikenali Kid, 22, di Twitter miliknya.

Rata-rata warganet meluahkan rasa sedih selepas menonton video berdurasi 31 saat itu dan mengharapkan pelakunya diberi hukuman setimpal sebagai pengajaran atas kesalahan dilakukan.

Menceritakan kisah itu, Kid berkata, kejadian berlaku di kawasan perumahannya sebelum dia ke masjid berhampiran untuk menunaikan solat Jumaat.

“Sebelum insiden itu, saya perasan beberapa kanak-kanak bermain dengan kucing di tingkat atas (aras dua) tetapi tidak menghiraukannya kerana mahu ke masjid menunaikan solat Jumaat.

“Ketika sedang berjalan untuk ke parkir motosikal, saya ternampak ada objek jatuh dari atas dan saya sangka ia bungkusan lampin pakai buang kerana ia putih.

“Rupanya itu seekor anak kucing yang dalam keadaan nyawa-nyawa ikan sebelum mati.

“Memandangkan bangkai kucing itu ada di tengah jalan, saya terus mengalihkan ke tepi sebelum naik ke tingkat atas untuk bertemu dengan keluarga kanak-kanak itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Kid, dia terkejut dengan apa yang berlaku dan itu pengalaman pertamanya menyaksikan kejadian seperti itu sejak menetap di perumahan berkenaan.

Katanya, sebagai pencinta kucing, dia sedih dengan apa yang berlaku memandangkan pernah beberapa kali memberi makan kepada haiwan berkenaan sebelum ini.

“Sebenarnya, saya tak sangka video itu mendapat tontonan ramai kerana sekadar berkongsi pengalaman dilalui pada hari itu.

“Namun ramai pula warganet berkongsi hingga ia tular.

“Diharap perkongsian video itu dapat mengingatkan orang ramai supaya memantau anak kecil atau adik ketika bermain.

“Ini kerana kita tidak mahu kejadian seperti ini berulang sama ada disengajakan atau tidak memandangkan kucing atau apa saja haiwan perlu dijaga dengan baik, bukannya dizalimi,” katanya.

Sehingga kini, video dimuat naik Kid itu meraih 422,000 tontonan, 10,500 tanda suka dan 15,900 ulang ciap oleh warganet.

Disiarkan pada: October 22, 2019 @ 8:00pm
d