utama

Bunuh kerat lapan: 'Saya terima ketentuan Allah'

Oleh Nur Saliawati Salberi

“ALHAMDULILLAH, akhirnya selepas menunggu hampir dua minggu semuanya selesai dan mereka kini bersemadi dengan tenang,” kata Fatimah Latiff, 60, ibu dan nenek kepada dua mangsa bunuh kerat lapan yang mayat mereka ditemui di Kampung Ladang, Krubong di Melaka pada 10 Oktober lalu.

Dua beranak itu, Norfazera Bidin, 27, dan anak lelakinya Muhammad Iman Asraf, 11, dipercayai menjadi mangsa pembunuhan kejam.

Menurutnya, urusan pengebumian semalam juga berjalan dengan lancar.

“Terasa lapang perasaan ini dan saya reda dengan apa yang terjadi, saya terima ketentuan Allah,” katanya.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, walaupun perbuatan itu sukar diterima, harapannya hanya satu agar keadilan buat anak dan cucunya dapat ditegakkan.

“Saya terfikir nasib yang terjadi sama seperti keluarga arwah Muhammad Adib Mohd Kassim lalui, dugaan terlalu kuat.

“Biarlah penghakiman akan menentukannya nanti, saya tidak menyimpan dendam kepada keluarganya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Rumah Pangsa Pegaga, Taman Merdeka hari ini.

Fatimah turut mengakui, pada awal kejadian dirinya amat lemah untuk menerima apa yang berlaku tetapi dia terus kuatkan diri.

“Selepas kejadian saya tidak kuat untuk membaca laporan di akhbar, sebak apabila melihat berita mengenai kejadian,” katanya.

Ketika ditanya, adakah dia ada bermimpi sesuatu berkaitan kejadian menimpa anak dan cucunya, Fatimah berkata, dua minggu sebelum kejadian dia ada bermimpi tanah di rumah lamanya bersama arwah suami di Bertam-Malim hendak dikorek dengan jentolak tetapi dapat dihalangnya.

“Dalam mimpi itu, saya merayu meminta agar jangan diapa-apakan rumah berkenaan dan tidak menyangka selepas itu beberapa insiden berlaku termasuk kejadian menimpa anak dan cucu,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis mengesahkan bahagian badan yang ditemui dikerat sekurang-kurangnya lapan bahagian dan ditemui berselerakan di Kampung Ladang, Krubong adalah milik Norfazera dan Muhammad Iman.

Identiti mereka disahkan selepas pihaknya memperoleh keputusan rasmi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad tengah malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Bertam-Malim.

  • Lagi berita berkaitan Mayat Dikerat Lapan
  • Disiarkan pada: October 22, 2019 @ 8:14pm
    d