utama

'Ulat itu jatuh satu persatu' [METROTV]

Oleh Alias Abd Rani

ADA sekurang-kurangnya 50 hingga 80 ekor ulat ditemui dalam kaki seorang lelaki yang mengidap kencing manis.

Itu antara pengalaman dilalui Dr Muhammad Faruq Zulkafli ketika merawat seorang pesakit di sebuah klinik kesihatan di Sungai Buloh, baru-baru ini.

Pesakit lelaki berusia 46 tahun itu dikatakan mengidap kencing manis pada usia 20-an, namun disebabkan tabiatnya tidak menjaga amalan pemakanan, selain tidak mahu berjumpa doktor menyebabkan penyakit itu merebak.

Keadaan bertambah parah apabila kaki lelaki terbabit terlanggar bucu pintu hingga berdarah dan ditambah pula penyakit dihidapinya menyebabkan luka itu tidak sembuh seperti biasa.

Menceritakan pengalaman itu, Dr Muhammad Faruq yang ditugaskan merawat pesakit terbabit berkata, setiap kali dipicit, satu persatu ulat akan jatuh.

Katanya, lelaki itu datang dalam keadaan demam dan menemuinya sebulan selepas kejadian langgar bucu pintu sebelum luka terbabit merebak dan berulat.

“Pemeriksaan mendapati, jangkitan kuman sudah merebak dan dia perlu dirujuk ke pakar ortopedik Hospital Sungai Buloh dan kemungkinan besar kakinya terpaksa dipotong.

“Waktu itu, kami membersihkan luka dan ulat jatuh satu persatu, luka semakin parah, manakala kulit mudah koyak jika ditekan,” katanya yang kini berkhidmat di Hospital Machang.

Keadaan kaki pesakit yang berulat kemudian dirakam sebelum dimuat naik dalam Twitter Dr Muhammad Faruq, @faruqzulkafli hingga ditonton lebih 120,000 netizen.

Video berdurasi 13 saat itu mendapat hampir 4,000 ciapan dan rata-rata warga maya terperanjat dengan keadaan kaki lelaki itu.

Antaranya: “@hafizi_kbaharin, Macam mana dia boleh jadi dr and takde symptoms ke kalau kita nak tahu?

“@permysurii, I’m not a doctor at all but I learn something haha. Interesting thing to read. FirdauzShaihu, geram ja tngok mcm nk tlong cungkil kluar ja boba2 tu.”

Dr Muhammad Faruq berkata, lelaki itu menolak untuk menjalani pembedahan memotong kaki dan pulang ke rumah namun sehingga kini, tidak hadir untuk jalani rawatan susulan.

Beliau berkata, pihaknya sudah terputus hubungan dan cuba mengesan lelaki itu, namun gagal disebabkan kemungkinan dia sudah berpindah ke tempat lain.

“Daripada maklumat diterima, salah satu faktor kenapa penyakit mencapai tahan berkenaan adalah disebabkan dia tidak menjaga kesihatan.

“Kencing manis adalah penyakit tidak berjangkit (non communicable disease) yang paling popular dalam masyarakat kita.

“Ia disebabkan corak pemakanan dan kebanyakan pesakit yang kita jumpa mesti mempunyai latar belakang penyakit ini.

“Tapi, tidak semestinya ibu bapa ada kencing manis hingga berjangkit pada anak. Kawalan gula di peringkat awal memainkan peranan utama,” katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2019 @ 10:05pm
d