utama

Idea RM1 anak bawa berkat

Oleh Siti Rohana Idris

MI, bihun, kuetiau sup dan bubur nasi yang dijual dengan harga RM1 semangkuk pasti menimbulkan pertanyaan dalam kalangan pelanggan sama ada mampu peroleh keuntungan atau tidak.

Jika diikutkan harga sedemikian sememangnya tidak masuk akal, tetapi bagi Zailani Ismail, 47, perniagaan yang dijalankan di tepi jalan di Kampung Delima di sini, sejak empat bulan lalu semakin laris.

Dia mengakui keuntungan diperoleh kecil namun konsep diperkenalkan sejak empat bulan lalu di premisnya dinamakan Kedai Mak Aji Stesen Kampung Delima menarik perhatian orang ramai, lebih-lebih lagi apabila tular di media sosial.

“Saya membuka perniagaan kedai makan sejak 20 tahun lalu, tapi sejak menghidap kencing manis beberapa tahun dahulu menyebabkan kedua-dua mata menjadi buta, kedai ini boleh dianggap hidup segan mati tak mahu.

“Selepas menjalani pembedahan, penglihatan saya pulih namun diuji pula dengan penyakit buah pinggang tahap lima sejak tiga tahun lalu yang merosakkan kedua-dua buah pinggang dan saya kerap keluar masuk wad.

“Bermula dari itu pendapatan saya menjadi tidak menentu kerana perniagaan terjejas teruk dan saya pula perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu,” katanya di kedainya di sini.

Zailani berkata, bagi meneruskan perniagaan semakin hari semakin terjejas, suatu hari anak sulungnya mencadangkan konsep jualan RM1 dengan hidangan mi, bihun, kuetiau sup serta bubur nasi dan mengakui pada awalnya tidak yakin memperoleh keuntungan.

Bagaimanapun, dia memberanikan diri mempraktikkan konsep itu dan seperti yang dijangka tidak berhasil dan mereka sekeluarga nyaris berputus asa.

“Anak saya mencadangkan supaya membuat hebahan menerusi laman sosial dan tidak sangka selepas itu menjadi tular dan kedai kami semakin dibanjiri pelanggan.

“Setiap hari secara puratanya saya mampu memperoleh RM100 hingga RM200 keuntungan kerana turut menyediakan menu masakan panas lain dengan harga berpatutan, tapi walaupun jumlah untung itu kecil, apa yang penting bagi kami adalah keberkatan,” katanya yang menerima elaun dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 sebulan.

Pelanggan tetap, Nor Ain Fatihah Mat Jusoh, 27, berkata, setiap hari dia singgah di Kedai Mak Aji Stesen Kampung Delima untuk menikmati bubur nasi bersama anaknya.

“Selain rasa enak, harga sangat murah juga menjadi penarik kepada pelanggan terus datang kerana tiada di mana-mana kedai menjalankan cara sebegini (harga RM1).

“Kalau diikutkan harga, memang tidak logik kerana menu itu dicampur cebisan isi ayam atau telur, tapi keistimewaan itu sebenarnya yang menarik pelanggan,” katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2019 @ 6:35am
d