utama

Bayi maut tersedak susu di taska

Oleh Zuliaty Zulkiffli

BAYI perempuan berusia 11 bulan meninggal dunia dipercayai kerana tersedak susu di sebuah taska di Alor Setar hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintendan Mohd Ridzuan Salleh berkata, bayi itu didakwa dihantar oleh ibunya ke taska itu pada pagi dalam keadaan sihat.

Bagaimanapun, menurutnya, pengasuh di taska berkenaan menyedari bayi itu tidak sedarkan diri pada 12 tengah hari lalu mengejarkannya ke Klinik Kesihatan Jalan Putra untuk mendapatkan rawatan.

"Setibanya di klinik, bayi itu sedar kembali dan diberi susu sebelum dibawa pulang semula ke taska berkenaan.

"Bayi itu sekali lagi tidak sedarkan diri sebaik tiba di taska menyebabkan pengasuhnya menghubungi ibu mangsa dan membawanya semula ke klinik sama," katanya ketika dihubungi.

Mohd Ridzuan berkata, bayi berkenaan kemudiannya disahkan meninggal dunia di klinik berkenaan sebelum mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk proses bedah siasat.

Menurutnya, setakat ini bedah siasat sudah selesai dijalankan dan mangsa dipercayai meninggal dunia akibat tersedak susu.

"Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis sudah mengambil keterangan ibu mangsa dan pengasuh taska berkenaan untuk membantu siasatan," katanya.

Mohd Ridzuan berkata, siasatan juga mendapati taska berkenaan mempunyai lesen sah untuk menjalankan operasinya.

Disiarkan pada: October 24, 2019 @ 8:52pm
d