utama

Tandas sekolah lima bintang

Oleh Redzuan Muharam

BAGAIKAN tandas hotel lima bintang. Itu gambaran suasana tandas Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Marudi, Sarawak yang diubah suai hingga kelihatan bersih dan menarik.

Tandas dihiasi dengan dengan dekorasi kreatif itu juga mendapat perhatian warganet selepas gambarnya tular di laman sosial, sejak beberapa hari lalu.

Guru Besarnya, Tiew Wei Hieng berkata, tandas berkenaan diubah suai dua tahun lalu sebagai satu inisiatif untuk menceriakan kemudahan sekolah demi keselesaan murid.

“Sebelum diubah suai, tandas berkenaan agak berbau dan keadaan itu mengundang rasa tidak selesa kepada guru dan murid berikutan kedudukannya yang tidak jauh daripada kelas.

“Namun, Lembaga Pengurusan Sekolah mengambil inisiatif mengumpul dana daripada bekas pelajar dengan bantuan guru untuk mengubah suai tandas murid lelaki dan perempuan pada 2017.

“Proses pengubahsuaian itu mengambil masa selama sebulan ketika cuti sekolah dengan bajet yang tidak begitu besar dan kebanyakan bahan dekorasi didalamnya dibeli daripada kedai DIY (secara sendiri) serta platform jualan atas talian,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Tiew, setakat ini, dia berpuas hati dengan kerjasama murid dalam menjaga kebersihan tandas dan gembira kerana rata-ratanya ringan tulang membantu dalam kerja keceriaan yang bermula tahun ini.

“Setiap kali perhimpunan, saya dan guru lain akan mengingatkan murid untuk bersama-sama menjaga kebersihan dan mereka memberi kerjasama yang baik.

“Usaha lain pihak sekolah adalah menghantar penyertaan dalam Pertandingan Pengiktirafan Tandas Awam Terbersih Peringkat Kebangsaan kategori sekolah rendah tetapi masih menunggu keputusannya yang belum diumumkan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Tiew berterima kasih kepada individu yang berkongsi gambar tandas berkenaan di media sosial serta pujian kepada warganet.

“Sebagai guru besar, sudah tentu saya berbangga apabila mengetahui kebersihan tandas berkenaan mendapat perhatian dan pujian pihak luar di selepas tularnya gambar itu di laman sosial.

“Itu satu pencapaian dan secara tidak langsung meningkatkan lagi imej sekolah,” katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 9:10pm
d