utama

Adam, Ainul Mardhiah 'trending' 2018

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

ADAM dan Ainul Mardhiah menjadi nama bayi paling popular dan ‘trending’ dipilih oleh ibu bapa untuk golongan Bumiputera sepanjang tahun lalu.

Data itu dikongsi Jabatan Perangkaan Malaysia menerusi artikel bertajuk Perangkaan Penting Malaysia 2019 menerusi laman web rasmi jabatan itu, semalam.

Selain itu, Jia Jun dan Yu Xuan pula menjadi pilihan utama masyarakat Cina, manakala Kavin dan Janani pula popular bagi bangsa India.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, nama popular itu diperoleh daripada data yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menerusi data sama, Dr Mohd Uzir berkata, bilangan kelahiran hidup yang dicatatkan pada 2018 adalah 510,945 orang, ia menurun sebanyak 1.3 peratus berbanding 508,685 orang untuk tahun sebelumnya.

“Data sama menunjukkan kelahiran bayi lelaki melebihi bayi perempuan iaitu 259,582 orang bersamaan 51.7 peratus.

“Selain itu, kadar kelahiran kasar (CBR) tertinggi direkodkan adalah di Putrajaya iaitu 24.7 peratus bagi 1,000 penduduk dan CBR terendah pula di Pulau Pinang dengan 11.7 peratus,” katanya.

Menurutnya, bilangan kematian yang direkodkan pada 2018 ialah seramai 172,031 orang, meningkat 2.3 peratus berbanding 168,168 orang pada 2017.

Katanya, kadar kematian lelaki pula lebih tinggi iaitu 98,949 kematian berbanding perempuan 73,082 kematian pada tahun lalu.

“Seorang bayi pula dilahirkan setiap minit, 57 bayi setiap jam dan 1,375 bayi setiap hari pada tahun lalu, manakala satu kematian direkodkan setiap tiga minit, 20 kematian setiap jam dan 471 kematian setiap hari.

“Selain itu, purata usia ibu bagi kelahiran pertama adalah 27.8 tahun membabitkan seramai 168,067 orang wanita,” katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 9:30pm
d