utama

Logo halal, sekejap ada... sekejap tak ada

Oleh Redzuan Muharam

“BUKAN niat saya memburukkan peniaga di negara itu (Korea Selatan), video berkenaan dikongsi sebagai peringatan kepada rakyat Malaysia yang mahu mencari makanan halal ketika melancong di sana,” kata akauntan, Najib Ayub, 28.

Najib memberi reaksi itu bagi menjelaskan alasannya memuat naik video yang menunjukkan papan tanda berlogo halal diletakkan di bawah meja niaga salah satu gerai makanan di Myeongdong, Korea Selatan.

Menerusi video dimuat naik di Twitter itu , Najib turut menulis ciapan berhubung sikap peniaga di situ yang hanya mempamerkan papan tanda logo halal ketika melihat kehadiran pelancong bertudung saja.

Perkongsian video berdurasi 23 saat itu mendapat pelbagai reaksi warganet dan meraih 272,100 tontonan sejak di muat naik di Twitter kelmarin.

Bercerita lanjut, Najib berkata, video itu dirakam secara spontan oleh isterinya, Nurul Nadiah Abd Aris, 28, ketika mereka berjalan di sekitar kawasan berkenaan pada waktu malam.

“Saya tiba di sini (Korea Selatan) 18 Oktober lalu untuk bercuti dan ini kali pertama saya dan anak (Ajda, 15 bulan) ke sini manakala ia kunjungan kedua buat isteri.

“Ketika berjalan di Myeongdong, saya terkejut apabila melihat papan tanda dengan logo halal diletakkan di bawah meja niaga ketika kunjungan pelancong Filipina sedangkan ia digantung di hadapan gerai sebelum itu.

“Situasi itu seolah-olah menunjukkan peniaga terbabit hanya menggantung papan tanda berlogo halal ketika kunjungan kumpulan pelancong Muslim saja sebagai taktik untuk menarik kehadiran mereka.

“Namun, tidak semua peniaga di situ bersikap begitu kerana ada juga yang jujur,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Najib, banyak maklum positif diterimanya sejak memuat naik video berkenaan tetapi ada juga segelintir warganet tersalah tafsir mesej cuba disampaikan hingga mengatakannya tidak layak melancong di luar negara.

Namun, dia tidak ambil pusing dengan kata-kata negatif dilemparkan kerana sekadar menjalankan tanggungjawab untuk berkongsi pengalamannya ketika melancong dan menyerahkan kepada mereka yang menonton untuk membuat penilaian sendiri.

“Saya selalu melancong dan pernah menetap selama tiga tahun di Dublin, Ireland sebelum pulang ke tanah air.

“Apa yang saya perhatikan, terdapat satu persamaan dalam kalangan segelintir pelancong Muslim iaitu mudah tertarik untuk membeli makanan di gerai atau restoran yang mempamerkan logo halal.

“Selain itu, ramai juga yang menaruh keyakinan tanpa was-was terhadap makanan laut dijual sedangkan sos dan minyak digunakan untuk menggorengnya belum dijamin status halalnya.

“Ada juga yang memberi alasan tidak salah memakannya kerana darurat sedangkan pilihan di tangan kita.

“Apa salahnya jika kita memeriksa terlebih dulu bahan yang digunakan, memasak sendiri dan atau membeli peralatan seperti sudu, garpu serta periuk jika ragu-ragu.

“Dalam hal ini, kita tidak boleh menyalahkan peniaga saja sebaliknya perlu berusaha mencari maklumat sebelum melancong kerana segelintir peniaga menganggap hidangan bebas alkohol dan daging khinzir termasuk dalam kategori makanan halal,” katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 10:19pm
d