utama

'Arwah sempat solat Subuh berjemaah'

Oleh Shamsul Munir Safini

“KAMI sempat solat Subuh bersama tetapi tidak pula bersembang,” itu kata Hussain Mohamad, 58, menceritakan detik terakhirnya bersama arwah Mohaidin Gani Mohamad.

Mohaidin Gani, 58, maut dalam kemalangan menyayat hati di persimpangan lampu isyarat Jalan Dato Keramat, Georgetown, 6.50 pagi hari ini, tidak lama selepas solat Subuh berjemaah di Masjid Maqbul Sungai Pinang.

Hussain berkata, dia seperti kebiasaannya akan bersolat bersama arwah di masjid itu sebelum masing-masing ke tempat kerja.

Katanya, sebelum kejadian, mereka berdua solat bersama dan tidak menyangka bahawa ia hari terakhir dapat berjumpa rakannya itu.

“Arwah selalu datang bersembahyang di sini dan kami akan bertanya khabar serta bersembang sebaik selesai solat sebelum ke tempat kerja.

“Pagi tadi dia tak nampak berubah. Begitu pun, kami tidak sempat bersembang dan hanya sempat mengangkat tangan ketika beredar dari masjid,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Hussain mengakui terkejut dengan berita kemalangan yang menimpa rakannya itu dan terkilan tidak dapat bersembang panjang dengannya.

Dalam kemalangan itu, seorang wanita warga China berusia 24 tahun yang dipercayai mabuk merempuh mangsa yang menunggang motosikal sehingga maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di situ.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, Mohaidin yang ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) maut di tempat kejadian.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa yang juga Pembantu Kesihatan Awam MBPP sedang menunggu di lampu isyarat terbabit bersama dua lagi kenderaan termasuk sebuah kereta dan motosikal beroda tiga.

Menurutnya, tiba-tiba kereta Honda Accord dipandu seorang wanita warga China merempuh motosikal mangsa dan sebuah lagi motosikal dari arah belakang menyebabkan mangsa parah sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, polis akan memohon reman ke atas wanita itu esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan kenderaan dipandu wanita itu tidak berhenti ketika melalui lampu isyarat berkenaan sebaliknya meluru terus sebelum merempuh dua motosikal dan kereta yang berhenti.

Berita berkaitan

Maut angkara pemandu mabuk

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 10:48pm
d