utama

Nak main JDT ke?

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Kelibat Liridon Krasniqi di Johor Bharu terus mencetuskan tanda tanya adakah calon tonggak naturalisasi Harimau Malaya itu akan menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) musim depan.

Walaupun masih tiada jawapan konkrit sama ada daripada tuan empunya badan mahupun JDT, namun kehadirannya di Johor baru-baru ini sudah cukup untuk menepis dakwaan dia tidak berminat menyertai skuad negara selepas menghilangkan diri sejak Mac lalu.

Dia sebelum ini dikatakan mendapat rawatan di Jerman selepas mengalami kecederaan ketika beraksi bersama Melaka United dalam saingan Liga Super awal musim ini.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Kosovo itu terus menghilangkan diri dan difahamkan kontraknya terpaksa ditamatkan oleh Melaka United, sekali gus membayangkan dia tidak berminat untuk menyarung jersi skuad negara.

Ketika ditanya kepada Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengenai Krasniqi, pihaknya enggan mencampuri urusan bekas pemain Kedah itu yang ketika ini sedang mencari pasukan baharu.

Namun, Stuart mengaku nama Krasniqi masih berada dalam senarai naturalisasi skuad Harimau Malaya dan hanya boleh didaftarkan sebagai pemain Malaysia pada Mac depan.

“Soal dia di JDT itu saya tak tahu, tetapi saya rasa kalau dia pemain yang tidak memiliki kontrak dan akan bersama pasukan lain, itu cerita lain. Tapi, dalam FAM sebagaimana saya katakan dulu, proses naturalisasi ini mengambil masa yang panjang selain daripada pelepasan kelulusan yang kita sudah peroleh daripada semua pihak termasuk dari negara asalnya Kosovo.

“Apapun, kita mesti mengikut syarat lima tahun di mana apabila cukup lima tahun pada Mac tahun depan, baru boleh menyertai pasukan sebagai pemain naturalisasi mengikut syarat FIFA,” katanya.

Jelasnya lagi, Krasniqi dijangka boleh mula membuat kemunculan bersama skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 ataupun kelayakan Piala Asia 2023 pada September tahun depan.

“Untuk dia main dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia memang tak boleh sebab pendaftaran pemain sudah tutup, jadi kena tunggu selepas Jun iaitu main dalam pusingan kelayakan ketiga Piala Asia atau kelayakan Piala Dunia,” katanya.

Selain Krasniqi, seorang lagi pemain iaitu Guilherme de Paula turut disebut-sebut bakal mengikut jejak Mohamadou Sumareh sebagai tonggak naturalisasi.

Ketika ini, skuad negara sedang menghadapi pusingan kedua Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan sekiranya berjaya muncul juara kumpulan atau menamatkan saingan sebagai empat naib juara terbaik, Harimau Malaya akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia, sekali gus layak mengisi 12 slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia.

Namun, sekiranya gagal, Malaysia akan berentap di pusingan ketiga Piala Asia bagi mencari lagi baki 12 pasukan untuk melengkapkan 24 negara di pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung di China pada 2023.

Disiarkan pada: October 26, 2019 @ 5:31am
d