utama

Nampak suami lenyap di depan mata [METROTV]

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

“SAYA nampak saat suami ditimbus tanah namun tidak dapat berbuat apa-apa,” kata Milah Che Pi, 51, menceritakan kejadian tanah runtuh yang memusnahkan kediaman dan menyebabkan suaminya, Hanudin Bahazim, 60, meninggal dunia akibat tertimbus runtuhan tanah, petang semalam.

Menurutnya, sewaktu kejadian dia baru selesai solat Asar di bilik utama dan terdengar bunyi dentuman kuat di dapur rumah.

“Saya keluar melihat apa yang berlaku dan dapati dapur ditimpa tanah dan kelihatan suami yang sebelum itu tidur di dapur cuba bangun untuk menyelamatkan diri namun tidak sempat.

“Dalam beberapa saat saja tanah yang runtuh melenyapkan suami dalam runtuhan itu,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.

Milah berkata, tanah yang runtuh di belakang rumahnya itu membabitkan jalan yang sering dilaluinya.

“Jalan ini saya selalu gunakan untuk ke tempat kerja dan saya turut perasan terdapat kesan rekahan namun tidak menjangka kejadian ini,” katanya.

Dalam kejadian 6.30 petang semalam, Hanudin ditimbusi tanah runtuh yang menimpa dapur rumahnya.

Mayatnya ditemui pasukan penyelamat pada 10.31 malam. Mayat yang tertimbus pada kedalaman tiga meter dihantar ke Hospital Selama untuk dibedah siasat.

Kejadian itu turut menjejaskan dua lagi rumah berhampiran.

Dua lagi mangsa ialah wanita berusia 75 serta 24 tahun yang mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Penduduk lain yang terjejas dalam kejadian itu kini ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di dewan orang ramai kampung berkenaan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, pasukannya berdepan sedikit kesukaran apabila operasi mencari dan menyelamat dilakukan dalam keadaan hujan lebat dan terdapat pergerakan tanah di lokasi runtuhan.

“Bagaimanapun pasukan penyelamat tetap meneruskan operasi pencarian dengan berhati-hati dan akhirnya mangsa berjaya ditemui.

“Bomba akan terus memantau lokasi kejadian dan menasihatkan penduduk agar tidak menghampiri kawasan runtuhan kerana bimbang berlaku runtuhan susulan,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Mangsa tertimbus sudah ditemui

Tanah runtuh, lelaki dikhuatiri tertimbus

Disiarkan pada: October 26, 2019 @ 11:40am
d