utama

Besar jasamu Wak Ngat

Oleh Faliq Lajim

“WAK Ngat (bapa saudara) ambil kami tiga beradik selepas kematian ibu akibat kanser payu dara pada 2011.

“Sejak itu arwah jaga dan tak pisahkan kami malah berhabis wang ringgit demi kami,” kata Nur Ietrah Shahila Sahrum, 21.

Graduan Diploma Perakaunan yang lebih dikenali dengan nama Ietrah lewat hadir ke Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-91 di Segamat, Johor.

Ia berikutan penerima Anugerah Naib Canselor itu terlebih dulu menghadiri majlis pengebumian bapa saudaranya Saringat Taiga (Wak Ngat), 63, yang dikebumikan pada hari sama Istiadat Konvokesyennya Rabu lalu.

Kisahnya mendapat perhatian netizen selepas dikongsikan di Facebook oleh Pegawai Istiadat Konvokesyen, Kapten (B) Ujud Tabil.

Menceritakan lanjut mengenai Wak Ngat, Ietrah berkata, dia ralat apabila bapa saudaranya itu tidak berkesempatan melihatnya naik ke pentas menerima skrol dan anugerah diplomanya.

“Anugerah itu saya dedikasikan kepada bapa saudara. Arwah dan Wak Miah (isteri Wak Ngat, Rapiah Toh Harun, 56) bersusah payah membesarkan kami adik beradik bersama seorang anak lelaki kandungnya dengan hasil sebagai peneroka FELDA di Sungai Tengi, Hulu Selangor.

“Tidak pernah arwah merungut membesarkan kami. Tak sempat saya nak balas jasa arwah tapi dia sudah pergi.

“Wak Ngat tiada penyakit namun baru-baru ini arwah dimasukkan ke hospital akibat kegagalan buah pinggang sebelum meninggal dunia Selasa lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ietrah berkata, dia bersyukur apabila berpeluang menjaga arwah di hospital malam sebelum bapa saudaranya itu menghadap Ilahi.

“Cuma saya sedih apabila tak dapat bergambar bersama arwah dengan baju konvokesyen di hospital.

“Memang niat begitu sebelum bertolak ke Johor namun sedih itu hilang apabila semalam, saya terjumpa gambar bersama arwah dengan pakai baju konvokesyen kakak empat tahun lalu,” katanya.

Dia yang kini menyambung Ijazah Sarjana Muda Perakaunan berkata, arwah banyak memberi kata-kata semangat untuk dia teruskan belajar bagi mengubah kehidupan keluarga.

“Selepas tamat pengajian diploma, saya mahu kerja sebab niat nak bantu arwah namun dia marah.

“Arwah cakap saya kena belajar untuk diri sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ietrah berkata, dia pada mulanya berbelah bahagi untuk datang ke istiadat konvokesyen yang diadakan pada petang Rabu itu.

“Saya fikirkan jasa arwah dan kuatkan diri pergi istiadat itu pada 12 tengah hari. Saya bersyukur apabila diberitahu Jawatankuasa Istiadat sanggup melengah-lengahkan masa kerana tunggu saya.

“Ketika naik ke pentas saya tahan menangis. Bagaimanapun, saya percaya orang yang saya sayang ada bersama saya ketika itu,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Jawatankuasa Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-91 bersepakat untuk melengah-lengahkan majlis, termasuk meletakkan nama Ietrah disenarai terakhir bagi membolehkannya sempat naik ke pentas konvokesyen.

Ia berikutan penerima Anugerah Naib Canselor itu masih dalam perjalanan dari Selangor ke UiTM cawangan Segamat selepas kematian bapa saudaranya Selasa lalu.

Berita berkaitan

Detik syahdu di pentas konvo...

Disiarkan pada: October 26, 2019 @ 9:10pm
d