utama

Panggilan video terakhir buat ibu [METROTV]

Oleh Badrul Kamal Zakaria dan Ahmad Ismail

“ARWAH adik sering membuat panggilan video kepada emak, Raimah Mohamad, 59, selama ini untuk melepaskan rindunya... selepas ini kami akan merindui telatahnya,” kata Siti Saadiyah Ismail, 37, kakak tiri kepada Allahyarham Muhamad Hafizee Supie, 25, yang lemas ketika snorkeling di Pulau Poda, Ao Nang, Wilayah Krabi, Thailand, semalam.

Siti Saadiyah berkata, ketika kali terakhir Allahyarham membuat panggilan video kepada ibu mereka, dia tidak menunjukkan perubahan melainkan keterujaannya untuk ke Krabi.

Menurutnya, pada mulanya adik kelimanya itu tidak mahu mengikuti rombongan syarikat ke pulau peranginan berkenaan, namun berubah fikiran selepas mendapati majikannya sudah membayar semua kos sempena hari keluarga syarikat berkenaan.

Katanya, selama ini arwah tidak pernah sampai ke Thailand dan ia kali pertama melancong ke negara itu.

“Arwah masih bujang dan bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat elektrik di Klang, Selangor, sejak lebih lima tahun lalu.

“Sebelum ke Krabi, arwah sempat membuat panggilan video kepada ibu untuk memaklumkan perkara itu.

“Arwah beritahu akan ke Krabi menaiki bas bersama rakan sekerja pada Khamis malam dan dijangka pulang ke Klang, esok. Bagaimanapun, kami tidak menjangka perkara ini berlaku kepadanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Perumah Awam Serom 4 di Tangkak, hari ini.

Siti Saadiyah berkata, pada 12 tengah hari semalam majikan arwah menelefon bapanya, Supie Mat Arifin, 53, bagi memaklumkan kejadian, namun tidak memberitahu arwah lemas.

“Selepas Asar baharulah majikan arwah adik beritahu adik sudah meninggal dunia kerana lemas dan kini ditempatkan di sebuah hospital di Krabi.

“Semua urusan berkaitan arwah diuruskan majikannya dibantu Kedutaan Malaysia di Thailand. Kini mereka berusaha mendapatkan sijil kematian daripada pihak hospital dan kerajaan Thailand sebelum jenazahnya dibawa pulang ke sini,” katanya.

Menurutnya, arwah adiknya pandai berenang kerana sudah biasa dengan aktiviti pantai dan memancing sama ada secara peribadi atau bersama rakan sekerjanya.

“Mengikut cerita rakannya di sana, arwah bersama-sama menaiki bot ke kawasan snorkeling. Ketika tiba di kawasan itu, arwah turun ke laut terlebih dahulu sebelum rakannya perasan arwah sudah tiada di kawasan berhampiran bot sebelum mereka mencarinya.

“Jenazah adiknya ditemui berdekatan pantai selepas dihanyutkan dan beberapa orang cuba memberikan bantuan kecemasan, sebelum dikejarkan ke hospital berdekatan.

“Pihak berkuasa kemudiannya mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Ditanya mengenai keperibadian Allahyarham sebelum ini, Siti Saadiyah berkata, arwah periang, peramah dan suka tersenyum hingga membuatnya mempunyai ramai rakan.

“Kami kini berharap segala urusan untuk membawa pulang ke kampung dipermudahkan. Difahamkan majikan dan Kedutaan Malaysia di sana membantu menyelesaikan urusan ini.

“Difahamkan jenazah arwah akan dibawa pulang melalui jalan darat dari Krabi dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Serom 1 apabila tiba nanti,” katanya.

Berita berkaitan

'Rakyat Malaysia lemas di Krabi'

Disiarkan pada: October 28, 2019 @ 8:42pm
d