utama

As'ad gembira penerimaan positif

Oleh Norhayati Nordin

HAMPIR tiga tahun membina kerjaya nyanyian, penyanyi remaja popular, As’ad Motawh, 18, sudah menghasilkan empat lagu.

Pernah popular dengan lagu Senyum, As’ad kini tampil mempertaruhkan produk baharu berjudul Selamanya yang dilancar sejak sebulan lalu.

Mengulas lagu baharunya itu, As’ad atau nama sebenar, As’ad Ahmad Muhammad Motawh mengakui gembira dengan sambutan peminat.

“Sekurang-kurangnya untuk lagu Selamanya ini saya tidak lagi dikecam warganet di platform media sosial dan digital.

“Terus terang, saya seronok dan bersyukur dengan penerimaan positif ini. Terima kasih atas sokongan yang diberikan,” katanya.

Berbicara lanjut, As’ad berkata, dia sedar setakat ini pencapaiannya dalam kerjaya nyanyian hanya dikenali dengan lagu Senyum.

“Untuk dua lagi lagu iaitu Percaya dan Warna yang dirakam tahun lalu kurang menyengat.

“Malah, teruk juga saya dikecam warganet, tetapi alhamdulillah tidaklah sampai patah semangat atau kecewa,” katanya.

Sudah lali dengan kecaman netizen, As’ad berkata, dia selesa mengambil pendekatan bertenang dan tidak mudah melatah.

“Saya cuba bersikap positif dan menerima secara terbuka semua komen netizen terhadap lagu dihasilkan.

“Bagi saya, setiap orang ada cara penilaian mereka. Kalau mereka mahu kecam biarlah kerana itu pendapat masing-masing.

“Paling tidak pun, jika berasakan kecaman diberikan itu agak teruk saya buang semua komen kurang menyenangkan itu,” katanya.

Menurut As’ad, dia juga mengambil langkah menghantar mesej langsung (DM) kepada penulis komen yang mengecamnya untuk bertanya secara baik.

“Biarpun baru berusia 18 tahun, seingat saya banyak juga pengalaman pahit sudah lalui sepanjang berkecimpung dalam arena seni ini.

“Boleh dikata sering juga saya diejek. Bagaimanapun, saya akur dan terima dengan lapang dada,” katanya.

Menurut As’ad, kini media sosial memainkan pengaruh besar. Jadi, jangan biarkan ia meninggalkan impak negatif dalam kehidupan.

Katanya, disebabkan itu dia berusaha memperbaiki kekurangan diri dan sentiasa berfikiran positif.

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 5:15am
d