utama

Kesedihan tak terbendung

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PELAKON terkenal tanah air Fauziah Nawi, 66, tidak dapat menyembunyikan kesedihannya dengan meratapi kepulangan jenazah anaknya di kediamannya di Taman Melati, Setapak di sini, tengah malam kelmarin.

Sebaik sahaja jenazah Mohd Firdaus Mohamad Hanif, 43, atau Pitt Hanif tiba di rumah itu jam 12.30 tengah malam, pelakon berkenaan cuba menahan sebak namun tumpas apabila air mata jatuh bercucuran.

Manakan tidak, anak lelaki tunggal yang juga anak sulung daripada dua beradik itu sudah pergi mengadap Ilahi dan meninggalkan dirinya.

“Tak mengapa,” kata Fauziah ketika keranda dibukakan di hadapannya.

Terdahulu, mayat Pitt Hanif yang dikhuatiri lemas di Sungai Jelai, Kampung Mela, Lipis pada jam 1 tengah hari Sabtu lalu ditemui pasukan penyelamat pada jam 4.25 petang, kelmarin.

Jenazah kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk tindakan susulan sebelum dimandi dan dikafankan.

Sejurus semua urusan selesai, jenazah pengarah filem Coast Guard itu dibawa pulang ke rumah ibunya jam 10.30 malam sebelum tiba dua jam kemudian untuk solat jenazah.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Keramat di sini, jam 2 pagi semalam.

Lebih 300 ahli keluarga, saudara-mara, rakan artis dan kenalan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan bagi memberikan penghormatan terakhir.

Paling terkesan dengan pemergian arwah ialah ibunya dan isteri, Farah Ahmad, 42, serta tiga anak perempuan mereka berusia tujuh hingga 16 tahun.

Doakan Pitt Hanif syahid akhirat

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berharap dan mendoakan semoga kematian pengarah filem yang juga anak lelaki artis veteran, Fauziah Nawi, Mohd Firdaus Mohamad Hanif atau lebih dikenali sebagai Pitt Hanif termasuk dalam ketentuan syahid akhirat.

“Ini sebagaimana hadis diriwayatkan Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Orang mati syahid lima golongan iaitu orang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.

“Buat Hajah Fauziah Nawi (ibu Allahyarham) dan keluarga, kesabaran dan ketabahan anda semua adalah contoh buat kami. Kami juga mendoakan anda sekeluarga supaya terus kuat menghadapi dugaan kehilangan insan tersayang. Kita yakin, banyak hikmah-Nya atas setiap musibah diberikan oleh-Nya,” katanya.

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 7:00am
d